: : :PELANGI MALAM: : :

Rabu, 23 September 2009

Aidilfitri erat silaturahim, bersihkan dosa


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
SELEPAS sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh madrasah Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Manifestasi kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat Tarawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi. Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, kini tiba pula masa untuk meraikan Aidilfitri.
Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya.

Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Dari segi bahasanya, Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah iaitu suci dan bebas daripada dosa. Tatkala Aidilfitri, umat Islam suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan membersih segala dosa kita. Namun, tidak kurang juga kita yang kecundang dan gagal mendapat pengiktirafan dari madrasah Ramadan ini apabila mereka kembali kepada fitrah iaitu sikap negatif yang diamalkan sebelum Ramadan.
Mereka kembali kepada kehidupan penuh dosa dan menindas golongan lemah, makan makanan yang tidak tentu halalnya dan dari sumber yang diragukan. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah.

Pada hari kemenangan ini, jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mesti diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama ummah. Golongan kurang bernasib baik ini juga berhak merayakan Aidilfitri seadanya.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga selepas berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah memerlukan kita meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini sesuai dengan peranan sebagai khalifah.

Aidilfitri bukanlah semata-mata suatu adat, tetapi lebih kepada ibadat berasaskan sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, hari besar ini wajar dipenuhi dengan ibadat yang dituntut Allah. Ia tidak hanya ziarah menziarahi, tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak, tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan, tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.
Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir dari apa dianjurkan Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini, tetapi dalam sukatan dan kadar tidak menjurus kepada pembaziran. Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam dan membantu golongan memerlukan.

Ramai juga di kalangan umat Islam tidak mahu keluar rumah mengunjungi sanak saudara. Hal sedemikian seolah-olah menjadi budaya masyarakat Islam di Malaysia. Ia berlaku kerana umat Islam khususnya di kalangan muda mudi menumpukan perhatian kepada rancangan hiburan disediakan. Saya tidak mengatakan hiburan patut diharamkan pada hari raya, tetapi rancangan disajikan itu hendaklah tidak menghakis semangat Hari Raya itu sendiri.

Apatah lagi apabila rancangan itu pula disiarkan pada waktu prima oleh media arus perdana menarik perhatian segenap lapisan masyarakat. Seperti lazimnya, Syawal akan dipenuhi program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika dikaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis berkenaan. Saya tidak berhasrat menyanggah apa yang dilakukan sekian lama atau menyarankan ia diberhentikan, tetapi biarlah dalam semua tindakan itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak disifatkan sebagai suatu pembaziran.

Malah, oleh kerana terlalu banyak rumah terbuka meraikan Aidilfitri, ada kalanya kita tidak berkesempatan menunaikan tuntutan agama seperti berpuasa enam. Berpuasa enam hari pada Syawal amatlah dituntut dalam Islam.

Dalam keghairahan meraikan Aidilfitri, sewajarnya kita merenung sejenak apakah kita akan berjumpa lagi Ramadan akan datang? Apakah pula persiapan kita menemui Tuhan Maha Pencipta? Ramadan sudah pasti dirindui dan syahdunya menunggu Ramadan tahun hadapan. Tiada janji pasti kita akan bertemunya lagi. Segala-galanya terserah kepada qada’ dan qadar-Nya.

Di hari kemenangan ini saya mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam khususnya pembaca Berita Harian dan ruangan saya ini. Sekiranya ada tersalah dan silap, terkasar bahasa dan bicara mohon dimaafkan.

Penulis ialah Peguam bela, Peguam cara dan Peguam Syarie

Semarakkan budaya kunjung-mengunjungi pada Syawal


MUSIM perayaan kembali lagi. Syawal disambut dengan penuh gembira walaupun dalam serba sederhana sejak kelmarin.
Suatu keunikan dalam masyarakat majmuk kita ialah amalan rumah terbuka dan budaya
kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan yang berlainan agama dan keturunan.Ia seperti menjadi tradisi dan agenda tetap untuk setiap perayaan yang kita rai selama ini.

Budaya warisan turun temurun yang menjadi kebanggaan kita sekian lama ini seharusnya tidak dipinggirkan.
Ia mampu menjadi platform atau jambatan untuk merapat dan menghubungkan tali persaudaraan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum negara kita.
Sejak dahulu, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya dengan penuh berhemah untuk mengukuhkan kontrak sosial yang telah terbentuk yang sekali gus mengharmonikan perpaduan kaum.

Namun keadaan semasa menunjukkan seolah-olah jambatan ini mula mengalami sedikit keretakan angkara golongan tertentu.
Mereka itu cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan soal agama dan hak sesuatu kaum dengan melampaui kontrak sosial yang telah dimeterai.
Golongan ini jelas mempunyai agenda tersendiri dan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai cita-cita dan hasrat mereka. Perasaan tamak dan ingin berkuasa mula mengaburi mata dan minda golongan ini.

Perpaduan kaum yang kita banggakan selama ini sudah mula menghadapi saat genting dengan pelbagai ujian getir.
Akibatnya pelbagai peristiwa yang boleh menggoncang jambatan perpaduan ini mula mewarnai dada-dada akhbar baik dalam mahupun luar negara.

Dalam keadaan baru selesai menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 dan penubuhan Malaysia yang ke-46, kita sewajarnya semakin kuat dan teguh daripada segi perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Elemen-elemen itu perlu dijadikan aset untuk mempersiapkan diri bagi menyahut misi Satu Malaysia dan Wawasan 2020.

Malangnya sehingga sekarang kita nampak jalan penyelesaian untuk menutup segala retakan di jambatan perpaduan tersebut ada ketikanya agak goyah. Ini kerana masih terdapat individu atau golongan yang bergiat aktif dan bersungguh-sungguh untuk merobek perpaduan yang sedia terbentuk ini.

Justeru kehadiran Syawal perlu dilihat sebagai detik dan waktu yang sangat sesuai dan bertepatan untuk kita jernihkan semula keadaan yang dilihat semakin keruh di samping memperkukuhkan semula jambatan perpaduan tersebut.

Budaya kunjung mengunjung yang biasa kita amalkan dalam musim perayaan perlu disemarakkan lagi pada musim Aidilfitri ini dalam keadaan yang harmoni agar hubungan antara kaum dapat dipereratkan semula.

Inilah antara peluang yang ada yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya agar kita dapat lupakan segala sengketa dan perselisihan faham di samping menyuburkan kembali budaya saling bermaaf-maafan sesama kita.

Mungkin juga ini merupakan antara benteng utama untuk kita menangkis segala usaha pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar kita kekal aman dan damai sepanjang masa.
Ayuh warga Malaysia marilah kita buktikan bahawa kita masih kuat, perpaduan di kalangan kita masih kukuh, teguh dan harmoni. Sama-samalah kita menjaga dan mempertahankan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sejak sekian lama.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Biar renggang di fana dunia,
Biar hina di mata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar harta semakin tiada,
Biar akal semakin berusia,
Biar jauh kedudukan kita,
Biar jurang pangkat kita,
Jangan tergadai silaturahim antara kita,
Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Selasa, 22 September 2009

Jaga batas syariat dalam 'rumah terbuka'


ZAHAZAN MOHAMED
________________________________________

MEGA: Hari Raya juga adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa Ramadan. Lalu kita dibolehkan bergembira menyambutnya tetapi apakah batas dalam sambutan itu?
ZAHAZAN: Allah SWT berfirman yang maksud-Nya:... Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 185-186)
Seorang pakar tafsir, al-Nasafiy menafsirkan ayat ini dengan menjelaskan bahawa doa seseorang itu sentiasa dimakbulkan apabila dia memenuhi perintah Allah dan mentaati-Nya.
Ayat ini mempunyai hubungan yang langsung dengan perintah puasa dalam bulan Ramadan menerusi ayat-ayat ke 183-186 sebelumnya.
Jadi ayat ke 187 ini mempunyai kaitan yang rapat dengan ibadah puasa. Apabila mukmin sudahpun mentaati Allah sepanjang Ramadan dengan menyempurnakan semua ibadah termasuk puasa, maka dia dengan sewajarnya dituntut untuk mengekalkan ketaatan kepada-Nya selepas Ramadan.
Memahami perkaitan antara penerimaan doa dan keseronokan dalam beribadah, mukmin mesti mengawal dirinya dari melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan sebaik sahaja selesai menamatkan ibadah puasa.
Dia hendaklah menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan ke arah memperbaiki diri.
Memang tidak dinafikan manusia suka bergembira, namun kegembiraan yang dicari hendaklah selari dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya.
Sebagai contohnya Rasulullah pernah mengiktiraf dendangan lagu Buath oleh dua orang gadis yang didengari oleh Aisyah r.ha. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Demikian juga al-Hafiz Ibn Hajar mengemukakan sebuah riwayat yang sahih bahawa para sahabat seperti Ibn Umar memakai pakaian yang cantik pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Demikian pula jamuan makan, merupakan suatu yang dituntut oleh Islam berdasarkan banyak hadis sahih. Namun demikian melaksanakan perkara-perkara ini hendaklah dengan pertimbangan-pertimbangan yang betul yang bertepatan dengan syarak.
Sekalipun muslim dibenarkan mendengar lagu-lagu patriotik yang dapat meningkatkan semangat juang, namun lagu-lagu yang memuja syahwat, berunsur syirik dan yang melalaikan dari mengingati Allah tetap diharamkan oleh Islam.
Demikian pula pakaian yang cantik dibenarkan, namun batasan aurat hendaklah dijaga agar tidak mendedahkan aurat.
Selain itu, pergaulan juga mestilah dipelihara agar tidak berlaku perbuatan-perbuatan yang haram. Nabi SAW pernah memberikan amaran menerusi sebuah hadis sahih riwayat al-Maqdisi yang bermaksud: "Jika dicucuk kepala seseorang kamu dengan besi lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya".
Bagi jamuan pula, umat Islam hendaklah menjaga dari berlakunya pembaziran kerana Allah swt mencela sikap ini. Firman-Nya dalam surah al-Israk ayat 27, maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Demikianlah antara batasan-batasan merayakan Aidilfitri yang perlu dijaga oleh seseorang muslim.
Sudah lumrah, masyarakat Malaysia mengadakan rumah terbuka. Apakah batas dan ciri-ciri rumah terbuka mengikut syariat?
ZAHAZAN: Memberi makan merupakan suatu ibadah yang tinggi nilainya dalam Islam.
Antara hadis yang menunjukkan kepada galakan memberi jamuan adalah hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi yang bermaksud: "Wahai sekelian manusia, sebarkanlah salam dan berilah makan kepada orang lain, dan jalinkanlah silaturrahim serta bangkitlah bersolat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, maka kamu akan memasuki syurga tuhanmu dalam keadaan selamat".

Namun demikian antara batasan yang perlu dijaga adalah adalah hendaklah mengelakkan pembaziran, mengawal agar tiadanya percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Jemputan yang dibuat pula janganlah menafikan hak-hak si miskin menyebabkan berlakunya layanan secara double standard yang mengutamakan sikaya semata-mata.
Nabi SAW bersabda maksudnya: Seburuk-buruk makanan yang dijamu adalah makanan yang dijemput orang-orang kaya kepadanya dan ditinggalkan orang-orang miskin. Sesiapa yang melakukan demikian, maka dia telah menderhakai Allah dan rasul-Nya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selepas sebulan menjalani tazkiyatun nafs (pembersihan jiwa), apakah sepatutnya akhlak dan tingkah laku umat Islam dalam kehidupan seharian?
ZAHAZAN: Allah menggambarkan bandingan akhlak ini seumpama buah bagi sebatang pokok. Firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat ke 25, maksudnya: Pokok itu mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).
Menurut Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, Allah menggambarkan akhlak yang murni hanya akan berlaku dengan sebab akidah yang teguh seperti akar bagi pokok tersebut.
Akhlak muslim tidak akan dapat dicorak tanpa akidah yang teguh kepada Allah. Justeru ahli sunnah meletakkan empat perkara yang boleh dilakukan untuk meneguhkan pokok iman itu sekali gus membentuk akhlak yang baik.
Iaitulah dengan menuntut ilmu secara istiqamah, beramal dengan ilmu yang diperolehi, mengamalkan zikrullah secara istiqamah dan banyak melakukan muhasabah dan berfikir tentang nikmat Allah SWT.
Ada juga yang berpendapat takbir hari raya di Malaysia ini lemah, tak bersemangat sebab mendayu-dayu tidak seperti di negara Arab. Soalnya, apakah falsafah di sebalik takbir itu?
ZAHAZAN: Takbir disyariatkan bagi memuji dan membesarkan Allah SWT di atas berbagai nikmat kurniaan-Nya.
Takbir yang disyariatkan selepas mengakhiri Ramadhan bertujuan memuji-Nya atas kesihatan dan kemampuan menjalankan ibadah puasa.
Demikian pula pada Aidiladha, takbir disyariatkan apabila muslim berjaya melaksanakan ibadah haji dari Arafah, Muzdalifah dan bermalam di Mina.
Takbir ini dilakukan sebagai manifestasi rasa syukur kerana mendapat nikmat kesihatan dan kesempatan menyempurnakan kewajipan.
Cuma bagi masyarakat nusantara kaedah melaungkan takbir banyak dipengaruhi oleh amalan budaya Melayu yang bersifat lemah lembut menyebabkan takbir dilakukan dengan lemah mendayu.
Menurut pengarang kitab Majmuk al-fatawa, semua ulama empat mazhab lebih cenderung mengatakan bahawa takbir raya hendaklah dilaungkan dengan nyaring dan lantang tanpa perlu dilagukan.

Semarakkan budaya kunjung-mengunjungi pada Syawal


MUSIM perayaan kembali lagi. Syawal disambut dengan penuh gembira walaupun dalam serba sederhana sejak kelmarin.
Suatu keunikan dalam masyarakat majmuk kita ialah amalan rumah terbuka dan budaya
kunjung mengunjung ke rumah rakan taulan yang berlainan agama dan keturunan.Ia seperti menjadi tradisi dan agenda tetap untuk setiap perayaan yang kita rai selama ini.

Budaya warisan turun temurun yang menjadi kebanggaan kita sekian lama ini seharusnya tidak dipinggirkan.
Ia mampu menjadi platform atau jambatan untuk merapat dan menghubungkan tali persaudaraan dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum negara kita.
Sejak dahulu, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya dengan penuh berhemah untuk mengukuhkan kontrak sosial yang telah terbentuk yang sekali gus mengharmonikan perpaduan kaum.

Namun keadaan semasa menunjukkan seolah-olah jambatan ini mula mengalami sedikit keretakan angkara golongan tertentu.
Mereka itu cuba mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan soal agama dan hak sesuatu kaum dengan melampaui kontrak sosial yang telah dimeterai.
Golongan ini jelas mempunyai agenda tersendiri dan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai cita-cita dan hasrat mereka. Perasaan tamak dan ingin berkuasa mula mengaburi mata dan minda golongan ini.

Perpaduan kaum yang kita banggakan selama ini sudah mula menghadapi saat genting dengan pelbagai ujian getir.
Akibatnya pelbagai peristiwa yang boleh menggoncang jambatan perpaduan ini mula mewarnai dada-dada akhbar baik dalam mahupun luar negara.

Dalam keadaan baru selesai menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 dan penubuhan Malaysia yang ke-46, kita sewajarnya semakin kuat dan teguh daripada segi perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Elemen-elemen itu perlu dijadikan aset untuk mempersiapkan diri bagi menyahut misi Satu Malaysia dan Wawasan 2020.

Malangnya sehingga sekarang kita nampak jalan penyelesaian untuk menutup segala retakan di jambatan perpaduan tersebut ada ketikanya agak goyah. Ini kerana masih terdapat individu atau golongan yang bergiat aktif dan bersungguh-sungguh untuk merobek perpaduan yang sedia terbentuk ini.

Justeru kehadiran Syawal perlu dilihat sebagai detik dan waktu yang sangat sesuai dan bertepatan untuk kita jernihkan semula keadaan yang dilihat semakin keruh di samping memperkukuhkan semula jambatan perpaduan tersebut.

Budaya kunjung mengunjung yang biasa kita amalkan dalam musim perayaan perlu disemarakkan lagi pada musim Aidilfitri ini dalam keadaan yang harmoni agar hubungan antara kaum dapat dipereratkan semula.

Inilah antara peluang yang ada yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya agar kita dapat lupakan segala sengketa dan perselisihan faham di samping menyuburkan kembali budaya saling bermaaf-maafan sesama kita.

Mungkin juga ini merupakan antara benteng utama untuk kita menangkis segala usaha pihak yang tidak bertanggungjawab ini agar kita kekal aman dan damai sepanjang masa.
Ayuh warga Malaysia marilah kita buktikan bahawa kita masih kuat, perpaduan di kalangan kita masih kukuh, teguh dan harmoni. Sama-samalah kita menjaga dan mempertahankan jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sejak sekian lama.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor

Teruskan Kesungguhan Ibadah Ramadan Di Bulan Syawal


Bulan Ramadan yang menjanjikan seribu macam pahala, sering menjadi rebutan setiap insan muslim. Masing-masing mengharapkan ganjaran pahala yang banyak bagi menampung dosa-dosa yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari.

Memenuhi tuntutan serta susulan tazkirah sebulan di bulan Ramadan Fenomena yang sering berlaku di kalangan masyarakat dalam negara ini adalah ketidaksungguhan mereka meneruskan agenda dan aktiviti keagamaan, ia terhenti dengan berakhirnya Ramadan, seolah-olah Ramadan sahaja bulan untuk beribadat sedangkan bulan-bulan lain tidak perlu berbuat demikian.

Inilah kesilapan yang perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Allah bagi pandangan mereka hanya wujud pada bulan Ramadan, sedangkan bulan lain bagi tanggapan mereka tidak perlu pengisian rohani. Apabila persepsi ini tidak diubah dari sekarang, mungkin ia akan dianggap betul oleh sesetengah anggota masyarakat. Akhirnya ia menjadi semacam budaya yang merugikan Islam dan umat Islam itu sendiri.

Syawal jadi bulan koreksi diri.

Masjid-masjid dan surau-surau kosong dengan pengunjungnya selepas bulan Ramadan, kerana Syawal bagi pandangan sesetengah umat Islam adalah bulan 'rumah terbuka'. Oleh kerana puasa Ramadan juga sebulan, maka berbaloilah apa yang mereka lakukan bagi memenuhi tuntutan nafsu.

Kelas-kelas pengajian seperti ilmu fiqh, akidah tauhid, tafsir, hadis, sirah, tasawwur dan lain-lain hanya dihadiri oleh mereka yang sama juga, itupun tidak berkitab, hanya mendengar. Setiap kali masalah timbul, para penceramah menjadi sasaran untuk diajukan soalan yang sering berulang, sedangkan sepatutnya setiap apa yang didengar perlu dicatat atau berkitab supaya ilmu yang didengar itu bukan hanya ada dalam kitab, malah ia perlu difahami dengan betul sama seperti anak-anak kita belajar di sekolah masing-masing.

Kalau budaya ini berterusan seperti tahun-tahun sudah, maka ia akan melahirkan insan-insan yang tetap sama fahamannya, malah ia tidak meningkat ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Menurut satu riwayat, kalau amalan hari ini tetap sama dengan semalam, atau amalan esok tetap sama dengan hari ini, maka ia menunjukkan tiada satu pencapaian terbaik digarap oleh umat Islam sebulan dalam tazkirah Ramadan.

Alangkah ruginya masa berlalu, tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh insan-insan yang kurang prihatin atau peka kepada isu-isu agama mereka, sedangkan banyak persoalan dikemukan oleh para alim ulama’ dalam forum-forum mereka khususnya yang disiarkan menerusi laman-laman web Islam, antara tajuk-tajuk forum yang patut dihadiri oleh umat Islam di bulan Syawal bagi menggilap kemampuan daya berfikir mereka adalah:
1) Mengapa umat Islam berani menentang Allah secara terbuka?

2) Benarkah kita umat yang komited dengan Islam?

3) Benarkah amalan kita diterima Allah sedangkan kita tidak menyumbang kepada Islam?

4) Adakah kita sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah buat umat manusia sejagat?

5) Mengapa masih terdapat ramai umat Islam tidak menutup aurat?

6) Mengapa Allah bukan matlamat sebenar dalam segenap agenda hidup kita?

7) Mampukah umat Islam mengekang kemaraan musuh-musuh Islam dalam segenap aspek hidup mereka?

8) Dimanakah kita dengan Rasulullah s.a.w.?

9) Mengapa para isteri baginda Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan role model kepada muslimah hari ini?

10) Bolehkah kita mati dalam agama Islam?

Dan banyak lagi, yang kiranya apabila umat Islam tidak bersungguh untuk memahami salah satu tajuk di atas sebagai jalan untuk memperkasa diri dengan elemen agama, sudah pasti mereka tidak akan menjadi umat yang berjaya dalam hidup.

Tindakan yang perlu kita buat selepas Ramadan.

Justeru, bagi mengekalkan kelangsungan amal ibadat serta hubungan intim dengan Maha Pencipta, adalah disarankan agar saudara/saudari memastikan beberapa panduan di bawah ini:

1) Paling penting yang perlu anda lakukan sebelum yang lain, memohon pertolongan Allah SWT agar terus memberikan hidayat-Nya, menetapkan iman pada jalan agama-Nya serta memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan agama.

2) Kekalkan amalan takwa yang digarap ketika melaksanakan ibadat puasa di bulan Ramadan walaupun menjangkau bulan Syawal sebagai bekalan setahun untuk Ramadan akan datang.

3) Perbanyakkan beramal dengan amalan-amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan untuk kelangsungan di bulan Syawal dan seterusnya seperti solat-solat sunat, puasa-puasa sunat, banyak berdoa.

4) Banyak bergaul dengan golongan para Solihin seperti majlis zikir, nasihat, kaunseling dan tazkirah.

5) Memperdalami maklumat dan ilmu pengetahuan mengenai sejarah kehidupan para Anbiya’, Nabi Muhammad s.a.w., para sahabat, tokoh-tokoh sarjana Islam terkemuka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang pernah melonjakkan Islam, sama ada melalui pembacaan, mendengar kuliah atau cakera padat, kaset agama dan sebagainya.

6) Memperbanyakkan mendengar kuliah-kuliah fardu ‘Ain di masjid atau surau secara langsung ataupun kaset dan cakera padat (sebagai bahan rujukan tambahan).

7) Memelihara tuntutan ibadat khusus seperti solat lima waktu, mengqada’ puasa yang tertinggal kerana sakit, musafir atau uzur syari’e, kerana ia amat dituntut untuk dilakukan segera.

8) Memelihara amalan-amalan sunat seperti puasa enam hari di bulan syawal, bersedekah, menziarahi sanak-saudara, jiran tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

9) Membaca al-Quran, bermula dengan menghafaz surah-surah pendek dan menghafaz ayat-ayat penting sebagai pendiding diri seperti ayat kursi, surah al-Mulk, Yasin dan lain-lain.

10) Memperbanyak zikir dan wirid, terutamanya zikir Ma’thurat susunan Imam Syahid Hasan al-Banna.

11) Menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan hati, sama ada bergaul dengan golongan maksiat, menonton filem lucah, membaca majalah-majalah yang boleh melalaikan seperti hiburan dan lain-lain, mendengar muzik yang melalaikan dan banyak lagi.

12) Bertaubatlah kepada Allah SWT dengan kadar segera dengan menyesali apa yang telah dilakukan yang menyalahi hukum syarak dan berazam tidak akan mengulanginya pada masa-masa akan datang.

13) Berhenti dari merokok terutamanya jenama rokok milik Zionis Israel, Amerika dan Britain yang menghimpun dana bagi membeli senjata untuk membunuh saudara-saudara Islam di Palestin, Lubnan dan lain-lain.

14) Menyesali atas perbuatan menghadiri program-program maksiat seperti hiburan yang melalaikan atau sukan yang menghalang diri dari menunaikan solat lima waktu.

15) Gigih untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan Allah serta Rasulullah s.a.w dan bersedia melakukan segala perintah dengan penuh rasa tanggungjawab dan pasrah kepada arahan kedua-duanya.

Janganlah jadi golongan yang hanya mengenali Allah SWT di bulan Ramadan semata-mata dengan amalan yang banyak, malah jadikanlah diri anda sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa sepanjang masa.

sumber:HarakahDaily.Net

Ahad, 20 September 2009

Allahu Akbar - Adab mendengar Azan

www.iLuvislam.com

Allahu Akbar!! Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati, mengapa kebanyakan orang yang nazak hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa? Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratulmaut'.
Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud:
'Hendaklah Kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya'.

Ini jelas menunjukkan kita disarankan agar mendiamkan diri dan jangan berkata apa-apa pun sewaktu azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan, banyak fadhilatnya. Jika lagu Kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri, mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas siapa yang berbicara ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takuti dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah 'Lailahaillallah'; yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini dengan keyakinan yang tidak berbelah bahagi (bahawa tiada Tuhan selain Allah) ketika nyawanya dicabut Allah, dgn izinNya dijanjikan Syurga untuk mereka.

Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

'Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, dan lancarkan lidah kami mengucap kalimah 'Lailahaillallah' semasa sakaratulmaut menghampiri kami... Amin... Amin... Amin Yarobbala'lamin...'

Sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiran ini, Subhanallah! Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan mengalunkan azan, mengakui 'bahawa Allah sahaja yang patut disembah, dan Nabi Muhammad adalah Rasul Allah'.

Kita awali dengan negara jiran Indonesia yang terletak di bahagian timur dengan ratusan kepulauannya bersama jumlah penduduknya sebanyak 180 juta orang. Sebaik masuk waktu Subuh, azan mulai berkumandang di kawasan ini dengan ribuan bilal yang melaungkan ke-Agungan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Proses ini akan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia. Perbezaan waktu antara timur dan barat Indonesia adalah 1½ jam. Belum lagi alunan azan merata Indonesia selesai, negara kita Malaysia akan menyambung mengumandangkan azan. Berikutnya di Burma dan dalam waktu satu jam selepas azan dialunkan di Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh. Berikutnya alunanan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar di barat India. Perbezaan waktu di kota-kota Pakistan adalah 40 minit, jadi dalam jangka waktu ini azan akan berkumandang di seluruh Pakistan. Belum berakhir di Pakistan, azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscow. Perbezaan waktu antara Muscow dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka waktu ini, azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman, Kuwait dan Iraq. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa azan mula dialunkankan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9½ jam. Belum pun azan Subuh berkumandang di pantai timur Atlantik, azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus. Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam! Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara, akan bergetar satu dunia dengan alunan azan yang tidak putus-putus. Allahu Akbar!
________________________________________

Madah Hati Di Aidilfitri

Oleh: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi*

Bukan sahaja amalan sunat kita pertingkat, tetapi maksiat mata, telinga dan rasa hati juga wajib diperangi. Malah, meninggalkan mengumpat di siang hari itu hakikatnya lebih utama daripada solat malam. Didik, tekan dan sesahlah jiwa agar mampu MEMAAFKAN dan MELUPAKAN.
Entri dalam blog ini yang paling mendapat komen, ulasan dan perhatian ialah BERILAH KEMAAFAN itu. Begitu sukar, tetapi itulah yang menjadi penghalang kita menuju Allah. Sesuatu yang paling sukar itu sebenarnya "marhalah" yang paling sukar dalam jalan mujahadah kita. Ingat saudara/i ku, teliti dengan sedalamnya apa yang paling sukar dan menusuk hatimu saat ini dan kebanyakkan saat-saat mu dalam kehidupan ini. Hingga terasa dalam hatimu, "kalaulah masalah@orang@perkara ini selesai... maka tenanglah hidup ku. Kenapa yang satu ini cukup mengganggu aku?"
Sebenarnya, itulah, dialah, perkara itulah... jika dapat diatasi berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang baik, akan membawa kita jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah. Yang paling sukar itulah MAHAR cinta Allah. Allah letakkan mahar itu mungkin pada... manusia yang paling kau "benci", mungkin pada perkara yang paling ingin kau lari daripadanya, mungkin kepada "penyakit" yang paling kau sedang hadapi kini atau apa-apa sahaja yang paling menekan, menyusahkan dan membimbangkanmu!
Sahabatku, jangan lari. Tetapi hadapi. Jangan mengelak , tetapi berdepanlah. Terimalah realiti walaupun pahit atau pedih amat. Itulah anak tangga yang kau mesti pijak untuk melonjak ke daerah tinggi. Jika kita lari, pasti anak tangga yang sama akan memburu dan menghantui kita dalam rupa yang berbeza tetapi mesejnya tetap sama. Kita tidak akan naik ke kelas atas, kita selamanya akan berada di kelas itu juga. Begitulah kata mereka yang arif, cara Allah mendidik kita dalam universiti kehidupan ini.
Temanku, dunia ini adalah sebuah sekolah. Kita di sini bukan untuk didera, tetapi untuk ditempa... dididik oleh MURABBI paling agung dengan mehnah (ujian), qada' serta qadar-Nya. Pelajaran itu kekadang diletakkan Allah pada manusia lain, pada peristiwa, pada kejadian, pada penyakit, pada kegagalan, pada kejayaan... ya selamanya kita akan dididik. Berterus-terusan. Hingga layak kita menerima sekalung ijazah bernama Qalbun Salim (hati yang sejahtera).
Di mana kita dalam "Universiti Kehidupan" ini? Masih bertatih dalam "sekolah rendah" yang tidak pernah meningkat kelas? (masih mengeluh dan berontak bila diuji?) Atau masih di "sekolah menengah" yang masih terkial-kial menduduki peperiksaan yang sama tahun demi tahun? (kekadang tenang kekadang resah bila diuji) Atau paling malang masih diperingkat "tadika" yang masih tidak matang, alpa dan masih terus ingin bermain-main? Tidak teringinkah kita menjadi graduan-graduan yang lulus pangkat pertama lalu melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan MA dan Ph.d? (Di situlah "bersemanyam"nya para sahabat Rasulullah dan para waliullah yang tersenyum bila diuji)
Aduh, madrasah Ramadhan ini semakin sampai ke hujung. Ketika para Salafussoleh membawa kurnia keampunan dan cinta yang begitu tinggi dan indah apa yang kita bawa untuk diri ini? Ya, Allah... pada kami hanya ada takut dan harap. Takut kemurkaan-Mu. Harap keampunan-Mu. Lalu, hatiku bermadah lagi... MADAH HATI DI AIDIL FITRI

MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!

Darihal puasa, iman dan ketaqwaan

Arifin Mahmud

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.
Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43.
"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."
Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..
Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.
Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.
Puasa, lambang amalan agama samawi
Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.
Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.
Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.
Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)
Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.
Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.
Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.
Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.
"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)
Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.
"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)
Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.
"Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat).." (Al-Hasyr: 18)
Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)
Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.
Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.
Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.
Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)
Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.
Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.
Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.
Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.
Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.
Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.
Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah. _

Mauizah: Cemar hati hanya bersih dengan agama Allah SWT

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sesungguhnya Allah SWT perintah dengan wajib manusia supaya makan makanan yang toiyyib (halal). Dalam wahyu-Nya Tuhan letak dahulu larangan makan makanan yang tidak baik sebelum larangan bunuh manusia.

Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah membunuh dirimu (membunuh diri dan orang lain); sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah An-Nisa ayat 29)
Terdapat dua hukum dalam satu ayat; pertama larangan memakan harta dengan jalan tiada hak (batil). Tegahan kedua larangan membunuh sama ada membunuh diri atau membunuh individu lain.
Kedua-duanya larangan dalam perkara yang mungkar, tetapi Allah SWT letakkan larangan memakan harta dengan jalan yang tidak betul terlebih dahulu daripada larangan membunuh.
Susunan itu menunjukkan agama Islam mengutamakan masalah makan minum dengan cara diredai-Nya lebih dahulu daripada tegahan selainnya.
Sepaling jahat manusia itu tidak akan melakukan pembunuhan, kecuali mesti ada sebab alasannya. Pembunuhan dapat dikawal seandainya manusia dapat mengawal makan minum harta benda daripada penipuan dan pengkhianatan, pencurian serta rompakan.
Masalah harta menjadi kepentingan bersama dalam situasi terkawal itu, dengan sendirinya menutup punca krisis dan jenayah dalam masyarakat. Di sinilah kedudukan ajaran Islam itu adalah agama menyeluruh Allah SWT, tidak boleh di ambil hanya sebahagiannya dan mengabaikan selebihnya yang dianggap merugikan.
Wajib menerima sepenuhnya apa yang disuruh, meninggalkan apa jua yang diharamkan-Nya. Allah SWT letak dahulu larangan makan harta yang tidak baik daripada larangan membunuh, dengan tujuan membesarkan untuk menimbulkan rasa penting dan gerun di kalangan manusia dengannya.
Ini supaya mengutamakan rezeki yang halal selain memenuhi keperluan, ia juga untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Hanya Islam sahaja yang mempunyai ajaran 'berkat', ia ajaran agama yang mesti dijaga dan diawasi sepenuhnya. Ini supaya rezeki yang dimakan dan pakaian halal yang di pakai akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
Harta di tangan manusia pada hakikatnya hak milik Allah SWT, justeru Dia mengingatkan manusia ditegah mengambilnya dengan cara yang batal. Harta kepunyaan orang lain boleh dimiliki hanya melalui cara yang diizinkn oleh syariat, iaitu dengan cara jual beli sesama reda atau sedekah.
Dikurniakan harta oleh Allah SWT kepada manusia sedangkan seluruh mereka menjadi anggota masyarakat, mereka mesti saling bekerjasama untuk mengambil manfaat daripada rezeki yang dikurniakan itu.
Sebagai anggota masyarakat mesti menjauhi tindakan ambil harta antara mereka dengan cara yang batal, pada hakikatnya mereka saling memerlukan antara satu sama lain.
Setiap daripada anggota masyarakat tidak upaya hidup sendirian, kerana semua keperluan hidup tidak dapat diadakan sendiri. Makan dan pakaian serta tempat tinggal saling bergantung dengan pihak lain.
Dengan adanya para petani di kalangan masyarakat, orang ramai dapat keperluan makanan terhindar daripada kebuluran. Dengan adanya para nelayan orang ramai dapat makan lauk ikan sebagai sumber protein.
Dengan wujudnya pengusaha pakaian orang ramai dapat menutup aurat, begitulah seterusnya dalam perkara penting lain yang diperlukan anggota masyarakat.
Apabila Allah SWT melarang melalui firman-Nya; jangan memakan harta sesama manusia dengan jalan batil, bererti mengajar orang beriman supaya hidup saling bekerjasama dan bersatu padu.
Inilah perpaduan sebenar yang diajar Allah SWT kepada manusia, ribuan tahun sebelum wujudnya kerajaan manusia dengan teori perpaduannya.
Begitulah kedudukan manusia sebagai anggota masyarakat, antara satu sama lain saling memerlukan mesti tali menali paut memaut.
Allah SWT melarang keras pembunuhan, kerana pada hakikatnya individu dibunuh itu ibarat dirinya sendiri. Dalam erti kata membunuh saudaranya sesama anggota masyarakat, yang saling memerlukan dalam kehidupan hariannya.
Kembali kepada persoalan makanan mesti dalam situasi halal, adapun mendapatkan makanan halal itu fardu daripada asas agama. Setiap sajian yang dihidang untuk diri dan keluarga, tentukan kehalalannya terlebih dahulu. Demikianlah yang dituntut oleh Islam.
Perkara adab kedua yang mesti dijaga sebelum makan ialah basuh tangan, juga tangan keluarga yang akan menikmati sajian itu. Basuh tangan sebelum makan bukannya adat resam atau budaya sesuatu bangsa, tetapi ajaran agama Islam.
Sekiranya waktu basuh tangan dengan niat menjunjung ajaran agama, semestinya tangan jadi bersih serta dapat pahala daripada Allah SWT pula. Allah SWT perintahkan basuh tangan sebelum makan, lantaran ia tidak sunyi daripada kekotoran sewaktu melakukan kegiatan harian di mana jua.
Membersihkan tangan dicuci dengan air, sementara pencemaran hati dibersihkan dengan ajaran agama Allah SWT.

Menangislah Kerana Allah

www.iLuvislam.com
syauqahwardah1209
editor:everjihad

BINGKISAN KHAS:
Buat mereka yang sering menangis kerana terluka dengan kekasihnya dan menangis kerana ditinggalkan oleh kekasihnya. Serta buat semua ummah yang pernah terlupa...
PERKARA: MENANGIS KERANA TAKUT KEPADA ALLAH
Firman Allah swt dari surah Al Maidah ayat 44 yang kira-kira maksudnya:
“Maka janganlah Engkau takut kepada manusia dan takutlah kepadaKu...”
Diceritakan, ada seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk satu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sampailah mereka ke satu kampung yang sunyi di mana penghuninya telah pun tidur. Lalu, lelaki itu pun menyampaikan hasrat hatinya. Wanita itu menyahut, “Lihatlah samada orang-orang telah tidur semuanya?”
Lelaki itu memikirkan bahawa wanita itu bermaksud bahawa wanita itu bersetuju untuk menuruti kehendak hatinya. Dia pun mengelilingi kawasan itu untuk melihat samada semua orang telah tidur atau tidak. Setelah jelas bahawa semua orang-orang telah tertidur, segera dia menghampiri wanita tersebut seraya berkata, “Benar, semua orang telah pun tidur.”
Lalu, wanita tersebut bertanya; “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apakah saat ini Dia juga telah tidur?”
Dan lelaki itu pun menjawab. “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.”
Wanita itu pun berkata lagi. “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak untuk ditakuti.”
Dengan segera lelaki itu meninggalkan wanita itu kerana dia takut kepada Allah. Dia telah pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu dengannya.
Lalu ditanya; “Apakah yang telah Allah lakukan kepadamu?”
Lelaki itu menjawab: “Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan kerana aku meninggalkan dosa itu.”
Rasulullah saw bersabda:
“Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan yang jatuh dari pohonnya.
“Sesungguhnya Allah berkata: Aku tidak mengumpulkan pada hambaKu dua ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa yang takut kepadaKu di dunia, Aku amankan dia di akhirat. Dan barangsiapa yang berasa aman dariKu di dunia, Aku akan takutkan dia di akhirat.”
Disebut dalam kitab Bidayatul Hidayah. Pada hari kiamat, didatangkan api yang bergemuruh. Hinggakan menggetarkan hati setiap ummah. Ketika mereka mendekatinya, gemuruh tersebut semakin kuat. Hingga terdengar dari jarak perjalanan 500 tahun. Setiap orang sampai para nabi berkata; “Nafsi-nafsi”(sendiri-sendiri). Kecuali Rasulullah saw yang sering kau lupakan. Baginda berkata, “Umatku-umatku.”
Kemudian, keluarlah api bagaikan gunung. Umat Muhammad saw berusaha untuk menolaknya sambil berkata; “Demi orang-orang yang bersolat, demi orang-orang yang siddiq, demi orang-orang yang khusyu’. Dan demi orang-orang yang berpuasa. Kembalilah engkau wahai api!”
Malangnya, api itu tidak juga kembali. Maka, berkatalah Jibril as: Sesungguhnya api hendak membakar umat Muhammad.” Lalu datanglah ia sambil membawa segelas air sambil berkata lagi: “ Ambillah air ini. Dan percikkan ke api itu!” Rasulullah saw melakukan perkara itu. Dan seketika itu, api itu pun padam.
Lalu, Nabi Muhammad saw bertanya: “Air apakah ini?” Jibril menjawab: “Itulah air mata umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah dan sekarang aku diperintahkan untuk memberikan air itu kepadamu supaya engkau memercikkannya kepada api sehingga padam dengan izin Allah”

Rasulullah saw seringkali berdoa: “Ya Allah, berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis.”
Barangsiapa yang ingin selamat daripada azab Allah serta mendapatkan pahala serta rahmatNya, hendaklah dia sabar atas kesulitan dunia, taat kepada Allah serta menjauhi maksiat. Dalam kitab Zahrir Riyadh, dirawikan dari Rasulullah saw, sesungguhnya baginda bersabda:
“Ketika masuk ahli syurga, mereka disambut oleh para malaikat dengan segala kebaikan dan kenikmatan. Dipersilakan untuk mereka singgahsana berpermaidani indah. Disajikan untuk mereka segala rupa makanan dan minuman yang lazat. Oleh itu, mereka menjadi kehairanan.”
Lantas Allah berfirman. “Wahai hamba-hambaKu mengapakah engkau hairan? Ini bukan tempat untuk merasa hairan.”
Dan mereka menjawab: “Janji untuk kami telah tiba waktunya.” Kemudian, Allah telah berfirman kepada malaikat: Bukakanlah hijab dari muka mereka. Malaikat menjawab: Ya Tuhanku, bagaimana mereka dapat melihat Engkau sedangkan mereka itu derhaka? Lalu Allah menjawab; “Sesungguhnya mereka telah berzikir, bersujud dan menangis di dunia kerana ingin bertemu denganKu.” Lalu malaikat pun membukakan tabir sehingga mereka dapat melihat. Maka, segera mereka bersujud kepada Allah.
Tetapi Allah berfirman: “Angkatlah kepalamu. Hari ini bukanlah hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat kepada kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat untuk beribadat tetapi adalah tempat mulia untuk kamu merasakan nikmat dan kesenangan yang berkekalan.” Kemudian, mereka nampak Allah tanpa kaifiyah. Allah berfirman lagi: “Salam sejahtera bagi engkau hamba-hambaKu. Aku redha kepadamu. Apakah engkau redha kepadaKu?” Mereka menjawab: “Bagaimana kami tidak rela wahai Tuhan kami. Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, bahkan belum pernah terlintas dalam hati manusia.” Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Al Baiyinah ayat 8: Ertinya; “Allah rela kepada mereka dan mereka pun rela kepadaNya.”
Dan firman Allah dalam Yasin ayat 58 yang membawa makna: “... (Dan ucapan) perkataan selamat daripada Tuhan yang pengasih.” Dan Rasulullah saw telah bersabda: “Api neraka tidak akan menjilat orang yang pernah menangis kerana takut kerana Allah swt. Sehingga air susu kembali ke tempat asalnya.”
*Sumber: Terjemahan Mukasyafah Al Qulub tulisan Imam Al-Ghazali.
Buat mereka yang seringkali menangis demi perkara yang sia-sia; menangis kerana cinta manusia, menangis kerana membaca novel cinta, menangis menonton filem cinta yang semu. Cinta! Cinta! Cinta duniawi.
Istighfarlah! Sedarlah! Bangkitlah dari lenamu.
Buat mereka yang seringkali melupakan kekasih yang paling agung; Allah sedang menantimu di pintu taubatNya. Pulanglah padaNya... dan menangislah untukNya. Menangis untuk menangih cintaNya, menangis kerana memohon taubatNya, menangis kerana berdosa padaNya, menangis kerana takut padaNya. Kerana Allah swt telah berfirman:
“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah...” (Al-Hasyr: 19)
Ingatlah, menangislah kerana Allah, kerana hanya Allah sahaja yang layak buat semua titisan air matamu...

Derhaka Kepada Ibu bapa Menempah Kemurkaan Allah

www.iLuvislam.com
arinzone
editor : everjihad

Dalam jalur hubungan secara mendatar di antara sesama manusia, dari segi tertib dan prioriti, hubungan dengan ibu bapa mempunyai martabat yang khusus dan tinggi. Bagi anak, dia hendaklah meletakkan pada kedudukan yang tinggi dan istimewa martabat kemuliaan ibu bapa dan wajib mendahulukan mereka sebelum orang lain dalam berbuat bakti selepas Allah Ta‘ala dan RasulNya. Kemuliaan dan ketinggian martabat ibu bapa itu bukan diangkat oleh siapa-siapa tetapi diangkat dan dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehinggakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan bapa.”
(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Sebab apa Allah mengangkat martabat ibu bapa? Kerana ibu dan bapa sangat besar jasanya kepada kita. Tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada kita selain ibu dan bapa. Dengan susah payah ibu kita mengandungkan dan melahirkan. Kemudian ibu bapa kita mengasuh, membesarkan, mendidik dan mencukupkan segala keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan dengan rasa penuh kasih sayang. Oleh itu, dalam membina hubungan sesama manusia, ibu bapa mestilah mendapat keutamaan lebih daripada orang lain. Sangat ganjil rasanya jika seseorang mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain seperti kawan-kawan di pejabat, di sekolah dan sebagainya, akan tetapi hubungan dengan ibu bapa sendiri diabaikan, apatah lagi jika diderhakai.

Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, akan tetapi ianya merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa, dan hukumnya adalah fardhu ‘ain. Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ‘ain maka setiap orang wajib berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada keduanya itu bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk melakukannya.

Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara‘, di antaranya sebagaimana terkandung di dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Surah Al-Israa’, ayat 23-24)

Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman yang tafsirnya :
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (Surah Al-Ahqaf, ayat 15)

Sementara dalil-dalil yang terdiri daripada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menegaskan tentang perkara ini, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin ‘Al-‘Ash, beliau berkata yang maksudnya :
“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya:
“Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?”
Beliau menjawab: “Ya”,
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadits di atas memberi petunjuk hukum bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad pada jalan Allah, kerana berjihad pada jalan Allah itu merupakan tuntutan fardhu kifayah (apabila sebahagian orang melakukannya maka gugurlah tuntutan kepada sebahagian yang lain), sedangkan berbuat baik dengan kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ‘ain, di mana setiap orang mesti melakukannya. Fardhu ‘ain lebih kuat atau lebih tegas tuntutannya berbanding fardhu kifayah. Oleh itu wajib bagi setiap orang berbuat

Hakikat Jihad

www.iluvislam.com
xjihadx*
Editor: lailatulema

Jihad merupakan puncak kekuatan dan kemuliaan Islam. Orang yang berjihad akan menempati kedudukan yang tinggi di surga, sebagaimana juga memiliki kedudukan yang tinggi di dunia Secara umum, hakikat jihad mempunyai makna yang sangat luas iaitu berjihad melawan hawa nafsu, syaitan, dan orang-orang fasik dari kalangan ahli bid’ah dan maksiat. Sedangkan menurut syara’ jihad adalah mencurahkan seluruh kemampuan untuk memerangi orang kafir. [Lihat Fathul Bari 6/77] Sehingga dapat disimpulkan, jihad itu merangkumi empat bahagian :

A)Jihad melawan hawa nafsu yang meliputi empat masalah iaitu:-

i)berjihad melawan hawa nafsu dalam mencari dan mempelajari kebenaran agama yang haq.
ii)berjihad melawan hawa nafsu dalam mengamalkan ilmu yang telah didapatkan.
iii)berjihad melawan hawa nafsu dalam mendakwahkan ilmu dan agama yang haq.
iv)berjihad melawan hawa nafsu dengan bersabar dalam mencari ilmu, beramal dan dalam berdakwah.

B)Jihad melawan syaitan yang dapat dilakukan dengan dua cara:-

i)berjihad melawan syaitan dengan menolak setiap apa yang dilancarkan syaitan yang berupa syubhat dan keraguan yang dapat mencederai keimanan
ii)Berjihad melawan syaitan dengan menolak setiap apa yang dilancarkan syaitan dan keinginan-keinginan hawa nafsu yang merosak.

C)Berjihad melawan orang-orang fasik, pelaku kezaliman, pelaku bid’ah dan pelaku kemungkaran

Jihad ini meliputi tiga tahapan iaitu:-

i)dengan tangan apabila mampu.
ii)Jika tidak mampu, maka dengan lisan
iii)jika tidak mampu juga, maka dengan hati, yang setiap kaum muslimin wajib melakukannya. Yaitu dengan cara membenci mereka, tidak mencintai mereka, tidak duduk bersama mereka, tidak memberikan bantuan terhadap mereka, dan tidak memuji mereka.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda. “Tiga perkara ; barangsiapa yang pada dirinya terdapat tiga perkara ini, maka dia akan mendapatkan kelazatan iman ; Allah dan RasulNya lebih dicintai daripada yang lainnya, ia mencintai seseorang hanya karena Allah dan dia benci kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah darinya, sebagaimana ia benci dilemparkan ke dalam neraka” [HR Bukhari dan Muslim]

“Barangsiapa mencintai karena Allah, membenci karena Allah, memberi karena Allah, dan tidak memberi kerana Allah, maka dia bererti telah sempurna imannya” [HR Abu Dawud]

“Barangsiapa membuat perkara yang baru atau mendukung pelaku bid’ah, maka dia terkena laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia” [HR Bukhari dan Muslim]

Berjihad melawan orang fasik dengan lisan merupakan hak orang-orang yang memiliki ilmu dan kalangan para ulama iaitu dengan cara menegakkan hujjah dan membantah hujjah mereka, serta menjelaskan kesesatan mereka, baik dengan tulisan ataupun dengan lisan. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan : “Yang membantah ahli bid’ah adalah mujahid” [Lihat Al-Fatawa 4/13]

Syaikhul Islam juga mengatakan : “Apabila seorang mubtadi menyeru kepada aqidah yang menyelisihi Al-Qur’an dan Sunnah, atau menempuh manhaj yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, dan dikhawatirkan akan menyesatkan manusia, maka wajib untuk menjelaskan kesesatannya, sehingga orang-orang terjaga dari kesesatannya dan mereka mengetahui keadaannya” [Lihat Al-Fatawa 28/221]

Oleh karena itu, membantah ahli bid’ah dengan hujjah dan perbalahan, menjelaskan yang haq, serta menjelaskan bahaya aqidah ahli bid’ah merupakan sesuatu yang wajib untuk membersihkan ajaran Allah, agamaNya, manhajNya, syari’atNya.Berdasarkan kesepakatan kaum muslimin, menolak kejahatan dan kedustaan ahli bid’ah merupakan fardu kifayah kerana seandainya Allah tidak membangkitkan orang yang membantah mereka, tentulah agama itu akan rosak.

Ketahuilah, kerosakan yang ditimbulkan dari perbuatan mereka, lebih berbahaya daripada berkuasanya orang kafir. Ini adalah kerana kerosakan orang kafir dapat diketahui oleh setiap orang, sedangkan kerosakan pelaku bid’ah hanya diketahui oleh orang-orang alim. Adapun berjihad melawan orang fasik dengan tangan, maka ini menjadi hak bagi orang-orang yang memiliki kekuasaan atau Amirul Mukminin, iaitu dengan cara menegakkan hudud (hukuman) terhadap setiap orang yang melanggar hukum-hukum Allah dan RasulNya. Sebagaimana pernah dilakukan Abu Bakar dengan memerangi orang-orang yang menolak membayar zakat, Ali bin Abi Thalib memerangi orang-orang Khawarij dan orang-orang Syi’ah Rafidhah.

D)Jihad melawan orang-orang munafik dan kafir

Bagaimana dengan berjihad melawan orang-orang munafik dan kafir?Al-Imam Ibnu Qayyim menyatakan, jihad memerangi orang kafir adalah fardhu ‘ain ; dia berjihad dengan hatinya, atau lisannya, atau dengan hartanya, atau dengan tangnnya ; maka setiap muslim berjihad dengan salah satu di antara jenis jihad ini. [Lihat Zadul Ma’ad 3/64]

Akan tetapi, berjihad memerangi orang kafir dengan tangan hukumnya fardhu kifayah, dan tidak menjadi fardhu ‘ain, kecuali jika terpenuhi salah satu dari empat syarat berikut ini :

i)Apabila dia berada di medan pertempuran
ii)Apabila negerinya diserang musuh. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan ; “Apabila musuh telah masuk menyerang sebuah negara Islam, maka tidak diragukan lagi, wajib bagi kaum muslimin untuk mempertahankan negaranya dan setiap negara yang terdekat, kemudian yang dekat, karena negara-negara Islam adalah seperti satu negara” (Al-Ikhtiyarat : 311) Jihad ini dinamakan Jihad Difa’.
iii)Apabila diperintah oleh Imam (Amirul Mukminin) untuk berperang
iv)Apabila dibutuhkan, maka jihad menjadi wajib. [Lihat al-Mughni, Al-Majmu’, Zaadul Mustaqni]

Adapun disyariatkan jihad melawan orang kafir (dengan tangan), melalui tiga tahapan iaitu:-

i)Diizinkan bagi kaum muslimin untuk berperang dengan tanpa diwajibkan. Allah berfirman. “Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu” [Al-Hajj : 39]

ii)Perintah untuk memerangi setiap orang kafir yang memerangi kaum muslimin. Allah berfirman. “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” [Al-Baqarah : 190]

iii)Perintah untuk memerangi seluruh kaum musyrikin sehingga agama Allah tegak di muka bumi. “Dan perangilah musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka memerangi semuanya ; dan ketahuiilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa” [At-Taubah : 36]

Tahapan yang ketiga ini tidak dimansuh sehingga menjadi ketetapan wajibnya jihad sampai hari kiamat. Syaikh Ibnu Baz rahimahullah berkata : “Marhalah (tahapan) yang ketiga ini tidak dimansuh, tetap wajib sesuai dengan kondisi kaum muslimin” [Fadlu Al-Jihad Wal Mujahidin, 2 : 440]

Demikian secara singkat hakikat jihad berserta tahapan-tahapan perintah tersebut. Semua ini harus difahami oleh kaum muslimin, sehingga dalam menetapkan jihad, sesuai dengan keadaan dan syarat-syarat yang harus dipenuhi. Wallahu a’lam

*Karangan Ustadz Abu Qatadah dan disalin dari Majalah As-Sunnah

Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang

www.iluvislam.com
Kiriman: abraxas248*
Editor : b_b

Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang
1.Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran
2.Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
3.Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita
4.Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang
5.Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin
6.Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang
7.Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih
8.Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut
9.Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir
10.Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu
11.Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat
12.Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu
13.Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya
14.Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya
15.Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih

________________________________________
* Dipetik dari blog abraxas248

Wasiat Terakhir

www.iluvislam.com

Mengimbau kembali lembaran sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Padang Arafah menjadi suatu medan yang terpalit suatu peristiwa yang amat menyentuh hati dan mengharukan bagi manusia yang mempunyai tunjang aqidah muslim. Di sinilah tempatnya Rasulullah SAW menyampaikan amanatnya buat terakhir kalinya. Sebuah khutbah terakhir yang penuh maksud dan sama sekali menyentuh hati para pencinta Kekasih Allah itu.

Rasulullah SAW bertolak dari Mina ke Arafah setelah naiknya mentari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda. Baginda masuk dan berada di dalamnya sehingga waktu Zohor. Kemudian, Rasulullah SAW mengarahkan al-Qaswah, yakni untanya untuk disiapkan. Lalu Rasulullah SAW menaikinya sehingga tiba di Wadi Uranah. Di hadapan Baginda SAW, ribuan sahabat mengelilingi Baginda SAW dengan perasaan yang penuh dengan debaran menanti apakah yang akan disampaikan oleh Baginda SAW.

Baginda SAW pun bangun berdiri dan menyampaikan khutbahnya yang penuh bersejarah itu.

"Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar, dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada sesiapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberi hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu wahai hamba-hamba Allah supaya bertaqwa kepada Allah dan menggesa kamu supaya mentaati-Nya."

Aku membuka khutbahku ini dengan muqaddimah yang baik. Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan kukatakan ini. Aku tidak tahu adakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

1. Sesungguhnya darah kamu,harta benda kamu, dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini, dan Bandar ini (Makkah dan kawasan sekitarnya).

2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.

3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakiku (yakni telah dihapuskan).

4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Ibnu Rabi’ah bin al-Haris yang telah disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

5. Riba adalah haram dan aku memulainya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimat Allah. Wajib ke atas merea untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk, jika mereka lakukannya, maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan-pakai dengan baik.

7. Semua orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.

8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan kamu suatu panduan. Jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya yakni al-Quran dan as-Sunnah.

9. Wahai manusia! Sesungguhnya tiada nabi lagi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuanmu (Kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.

10. Tuhan kamu adalah Maha Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa terhadap Allah. Tiada kelebihan bagi bangsa Arab berbanding bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati. Oleh itu, tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat daripada para malaikat dan seluruh manusia.

12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku. Maka apa yang kamu jawab? Mereke menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu”. Baginda SAW lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah”. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SAW dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umayyah bin Khalaf r.a.