: : :PELANGI MALAM: : :

Sabtu, 13 Jun 2009

Ulul Albab: Pintu taubat lebih berharga daripada emas


Oleh Abdurrahman Haqqi
Umat Islam tidak boleh mudah putus asa beristighfar mohon ampun jika ingkar larangan

KETIKA pengikut Nabi Isa as, al-Hawariyyun memohon kepada Baginda supaya Allah berkenan menurunkan kepada mereka hidangan dari langit, maka Allah menerima doa Nabi Isa dengan firman-Nya bermaksud: "Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang kepada kamu, kemudian sesiapa antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk." (Surah al-Maidah: 115).

Maksud ayat di atas dan tiga ayat sebelumnya ialah ada keinginan, permohonan dan jawapannya. Tetapi jawapan itu bersyarat yakni "kemudian sesiapa antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk."
Perkara ini juga pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang diriwayatkan bahawa orang musyrik Makkah meminta kepada Baginda supaya Allah menjadikan Bukit Safa emas.

Jika berlaku, mereka mempercayai Baginda dan memeluk Islam. Baginda terlalu gembira dengan permohonan dan niat orang musyrik itu sehingga bersabda: "Benarkah demikian?" yang dijawab oleh mereka: "Benar!"

Apabila Baginda bersiap untuk berdoa agar Bukit Safa menjadi emas oleh Allah, tiba-tiba Malaikat Jibril AS turun menghampiri Baginda seraya berbisik: "Mahukah tuan Bukit Safa itu dijadikan emas tetapi sesudah itu mereka kufur dan ingkar seperti al-Hawariyyun, kemudian mereka diseksa dengan azab sengsara yang tidak pernah Allah seksakan seseorang pun daripada sekalian makhluk atau tuan lebih memilih untuk diberikan pintu keampunan dan taubat?
Mendengar bisikan Jibril itu, Baginda mengurungkan niatnya untuk berdoa dan membiarkan musyrik seperti sedia ada.

Baginda memilih pintu keampunan dan tauba kerana berasa kasihan jika berlaku ke atas mereka seperti nasib segelintir al-Hawariyyun yang diubah menjadi babi dan kera di dunia kerana mengingkari janji mereka dan di akhirat kelak azab sengsara yang maha pedih sedang menunggu. Kisah ini diceritakan Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya ketika membahas ayat Surah al-Maidah ini.

Baginda memilih pintu keampunan dan taubat yang lebih fleksibel daripada bukit emas yang kaku dan statik. Baginda lebih mengutamakan kebanyakan umat daripada segelintir umat yang hanya menginginkan bukit emas.

Sifat ini memang sudah direkodkan dalam al-Quran yang maksudnya: "Sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman." (Surah al-Taubah: 128)
Pilihan Baginda Rasulullah SAW didasarkan salah satu sifat Allah SWT iaitu al-Ghaffar (Maha Pengampun) dan al-Tawwab (Maha Penerima Taubat.

Satu ayat dalam al-Quran yang membuat hati kita terharu dan syukur serta gembira apabila membacanya, bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar: 53).

Dalam ayat ini Allah menyapa orang yang melampaui batas dengan kata-kata: "Ya 'ibadi' (wahai hamba-Ku). Tujuannya ialah menyatukan hati hamba-Nya dan menyentuh perasaan mereka agar mendengarkan ayat berkenaan dengan baik.

Allah mengkhususkan panggilan-Nya itu untuk orang yang melampaui batas kerana mereka manusia paling banyak melakukan dosa dan kesalahan. Maka, bagaimana pula panggilan terhadap orang selain mereka yang juga sering melakukan kesalahan dan dosa?

Dalam ayat itu, Allah juga melarang hamba-Nya berputus asa memohon keampunan. Allah mengkhabarkan Dia akan mengampuni semua dosa siapa saja yang bertaubat kepada-Nya sama ada dosa yang dikerjakan secara sembunyi atau dengan terang-terangan.

Allah menyifatkan diri-Nya dengan dhamir mu'akkad (kata ganti untuk penegasan) dan 'al' (lam takrif) yang menunjukkan kesempurnaan sifat ketika Dia berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Dalam ayat lain disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentu mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Nisa: 64).

Panduan al-Quran ini ditegaskan kembali oleh hadis bermaksud: "Allah SWT berfirman, "Wahai anak Adam, sepanjang kalian mahu memohon dan mengharapkan (keampunan-Ku), tentu akan Aku ampunkan semua dosa kalian dan Aku tidak peduli (meskipun dosa kalian banyak). Wahai anak Adam, sekali pun dosa kalian setinggi langit, kemudian kalian memohon keampunan-Ku, tentu akan Aku ampuni dosa kalian dan tidak Aku pedulikan (meskipun dosa yang kalian kerjakan itu dosa besar). Wahai anak Adam, jika kalian datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, kemudian kalian mati dengan tidak menyekutukan-Ku dengan apapun, Aku akan memberikan keampunan sepenuh isi bumi kepada kalian." (Hadis riwayat al-Tirmidzi.

Seberapa pun besar dosa seseorang Allah menjanjikan keampunan jika mahu beristighfar. Keampunan Allah menyebabkan terhapusnya dosa yang menyebabkan terhindar daripada azab di dunia dan akhirat.

Siapa yang mahu beristighfar ketika melakukan perbuatan dosa maka dosanya terhapus meskipun puluhan kali dia lakukan tiap harinya. Dia terbebas daripada sifat orang yang terus menerus dalam dosa.

Ini menunjukkan betapa besar dan luasnya rahmat Allah kepada hamba-Nya. Celakalah seorang hamba yang mengetahui luasnya rahmat Allah, namun dia tidak berusaha untuk meraihnya sehingga terhalang daripada rahmat-Nya.

Semoga istighfar menjadi amalan rutin seperti dilakukan Nabi kita. Baginda dalam sehari lebih 70 kali beristighfar. Dalam hadis lain diriwayatkan maksudnya: "Iblis berkata kepada Tuhannya, "Dengan keagungan dan kebesaran-Mu, aku tidak akan berhenti menyesatkan anak Adam selama mereka masih bernyawa."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan berhenti mengampuni mereka selama mereka beristighfar". (Hadis riwayat Ahmad)

Kita sudah melihat pada awal tulisan ini bagaimana Rasulullah memilih pintu keampunan dan taubat daripada Bukit Safa yang dijadikan emas. Itulah sifat Baginda yang lebih mengdepankan berita positif yang membangun ketenteraman umat daripada berita negatif yang merugikan mereka. Wallahu alam.
Sumber: Berita Harian

RAHSIA JADI AYAH BERKESAN


BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.
Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.
Anak yang tidak berbapa:
Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak.
Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)
Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan :
Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:
i) Bapa yang komited dan bertanggungjawab
Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang
ii) Kenali anak anda
Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka.
iii) Istiqamah (tetap pendirian)
Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.
iv) Melindungi, menyara dan mendoakan
Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
v) Mencintai ibu mereka
Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.
vi) Menjadi pendengar yang baik
Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
vii) Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian
Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
Sumber :http://www.petua.org/

HIV/ AIDS MASIH JADI ANCAMAN


Oleh Jami'ah Shukri

DIANGGARKAN kira-kira 11.8 juta golongan muda berumur 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia menghidapi HIV dengan setiap hari hampir 6,000 orang, manakala 2,000 bayi juga dikesan dijangkiti virus sama yang dibawa ibu mereka ketika mengandung, selepas dilahirkan atau menyusu ibunya.

Kira-kira 15 juta kanak-kanak di seluruh dunia kehilangan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka yang disahkan menghidapi Aids. Menjelang 2015, kira-kira 25 juta kanak-kanak juga dijangka 'kehilangan' salah seorang daripada ibu bapa mereka.

Satu daripada 86 kes baru mereka yang dijangkiti HIV adalah kalangan wanita dan remaja. Statistik menunjukkan 10 daripada 1,000 kanak-kanak tinggal di dalam persekitaran rumah yang dibayangi dengan HIV. Malah atas pelbagai sebab termasuk politik, ekonomi dan budaya, sesetengah golongan muda lebih mudah dijangkiti penyakit itu. Perangkaan pada 2007 mencatatkan sebanyak 33.2 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak dijangkiti HIV/Aids.

Sebagai contoh, remaja lebih tinggi risiko kerana sebahagian mereka terdedah kepada pelakuan seks atau gagal mengawal diri hingga terjebak dalam kegiatan tidak bermoral. Tambahan pula, ketiadaan pendidikan seks dan kurang tanggungjawab sosial masyarakat berkaitannya menjadikan mereka mudah terdedah kepada virus berkenaan.

Keadaan kemiskinan yang mencengkam kehidupan mereka termasuk dieksploitasi oleh pihak tertentu serta dipaksa melacur menjadikan golongan ini tidak dapat lari daripada gejala itu, selain sesetengahnya pula dijangkiti HIV selepas berkongsi jarum menerusi pengambilan dadah. Jika dilihat secara keseluruhan jangkitan HIV/Aids ini, ia boleh berlaku dalam semua peringkat golongan atas sebab tertentu. Namun tumpuan perlu dikhususkan juga kepada golongan muda ini supaya angka yang dicatatkan itu turun sehingga sifar kerana mereka generasi penggerak pada masa depan.

Justeru, Hari Memperingati Aids Sedunia (IAMD) 2009 yang disambut pada 17 Mei setiap tahun dan kali ini, bertemakan 'Bersama Kita Adalah Penyelesaiannya', diraikan oleh lebih 100 negara baru-baru ini bagi memberi perhatian dan sokongan kepada mereka yang dibelenggu epidemik HIV/Aids dan mengajak komuniti global untuk terbabit secara aktif bersama membendung penularan gejala itu peringkat lebih serius.

Pada masa sama, tema itu juga menggalakkan perpaduan global dan resolusi mengenai isu HIV/Aids dengan memberi mesej kepada semua lapisan masyarakat bersama melakukan sesuatu bagi mengubah keadaan berkenaan.

Majlis Aids Malaysia dan ahli gabungannya pula akan memberi tumpuan aspek keagamaan bagi menghentikan stigma dan diskriminasi di kalangan rakyatnya.Dalam konteks Malaysia, Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) mengenai Aids 2006-2010 disediakan bertujuan mengurangkan kemudaratan kedua-dua penyakit itu dengan memperuntukkan RM500 juta sepanjang tempoh berkenaan untuk pelbagai program berkaitannya.

Di Malaysia, dianggarkan 85,000 orang dikenal pasti menghidap HIV positif dan antara 10 dan 15 orang dijangkiti virus itu setiap hari.

Kementerian Kesihatan mendedahkan, tiga rakyat negara ini disahkan positif HIV dan seorang didapati meninggal dunia akibat Aids, setiap hari. Berdasarkan perangkaan, jumlah kes HIV mencatat penurunan berterusan mulai 2003 apabila 3,692 kes direkodkan pada 2008 berbanding 6,978 kes pada 2002.

Mengikut laporan itu, penurunan dicatatkan daripada 27 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada 2003 menjadi 17 peratus menjelang 2008 dan sekiranya trend itu berterusan, diunjurkan hanya sejumlah 110,000 kes HIV akan dikesan sehingga 2015.

Sumber Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pada 2008 pula mendapati 8,569 penagih baru dikesan adalah belia dan remaja berumur antara 13 hingga 39 tahun.

Bagaimanapun, pelbagai pihak perlu membuka mata dan bersatu hati bersama berperanan menangani isu mengenai HIV/Aids ini untuk mengelak ia terus mengancam sistem kehidupan masyarakat dan membantutkan penyediaan ke arah generasi yang bebas daripada epidemik membawa maut itu.

Sesungguhnya, jutaan kanak-kanak di seluruh dunia membesar sendiri dan tiada pengawasan. Kesan daripada Aids ke atas kanak-kanak ini amat kompleks. Ramai kalangan mereka yang menderita psikologi dan tekanan ekonomi serta terpaksa meninggalkan sekolah untuk membantu keluarga mereka.

Dalam keadaan itu, mereka ini terdedah kepada pelbagai kegiatan tidak bermoral. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), melaksanakan banyak program untuk membasmi penularan HIV/Aids dengan mensasarkan golongan muda.

Justeru, pendidikan kesihatan seksual berdasarkan kemahiran hidup di sekolah dan program penyebaran maklumat lebih tepat sentiasa diadakan secara berterusan. Perkhidmatan kesihatan yang lebih mesra remaja disertai kaunseling, pendidikan pengurangan risiko dan ujian serta rawatan penyakit kelamin dan HIV.

Di samping itu, program khusus kepada golongan muda yang terpinggir serta berdepan risiko tinggi terdedah kepada HIV seperti pelacur dan penagih dadah yang kerap berkongsi jarum suntikan, perlu dipertingkatkan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

DISIPLIN PELAJAR



Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar.

Jelaskan punca-punca dan langkah mengatasinya.

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggung jawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

Kemelut ini mudah dibendung jika ibu bapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.
Sumber : Blog Cikgu Azman

Jumaat, 12 Jun 2009

PENANDA WACANA DALAM KARANGAN



PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

• Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat
penjuru dunia ini tentang isu …
• Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda
kita telah ….
• Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.
Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal
menghambat.
• Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita
acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan
oleh rakyat kita sendiri.
• Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
• Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

• Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan
dengan terperinci demi kebaikan bersama.
• Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi
masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
• Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik
dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita
ini.
• Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan
pendapat yang menyatakan …….
• Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik
dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi
hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

• Kita dapat menyaksikan betapa…
• Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
• Lazimnya, dalam keadaan …
• Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
• Pada hemat saya …
• Pada pandangan saya …
• Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
• Sebagaimana yang kita ketahui
• Sebagaimana yang kita maklumi
• Sejak awal lagi
• Sejak kebelakangan ini
• Selain itu, pada masa ini juga
• Seperti yang telah dinyatakan
• Umum mengetahui bahawa
• Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

• Bagi sesetengah orang …
• Begitu juga dengan …
• Begitu juga halnya dengan …
• Bertitik tolak daripada itu …
• Bukan itu sahaja …
• Dalam hal ini …
• Dalam konteks ini ..
• Dalam zaman yang serba canggih ini …
• Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
• Dengan adanya …
• Dengan berbuat demikian …
• Dengan perkataan lain ..
• Disebabkan hal itu
• Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
• Hal ini berlaku disebabkan
• Hal ini penting dalam
• Hal ini serupa dengan
• Hal yang serupa berlaku apabila
• Ini disebabkan
• Ini membuktikan bahawa
• Ini menggambarkan bahawa
• Ini secara tidak langsung akan
• Ini semua meninggalkan kesan kerana
• Ini tentu sekali membuatkan
• Jadi kita perlu
• Jadi kita hendaklah
• Keadaan ini tentunya
• Lantaran itu sehingga kini
• Kesemua ini menyumbang kepada
• Kita mengakui hakikat bahawa
• Kita sering menonton di kaca televisyen
• Kita sering membaca di dada-dada akhbar
• Memandangkan keadaan yang sedemikian
• Namun sejak kebelakangan ini
• Oleh itu, bolehlah dikatakan
• Secara logiknya masa yang
• Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
• Keadaan ini seharusnya boleh
• Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
• Kendatipun demikian, kita masih
• Yang paling nyata ialah
• Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

• Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
• Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
• Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

• Sebagai contohnya
• Biar kita lihat
• Biar kita ambil contoh
• Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
• Sebagai analoginya,
• Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

• Intihanya,
• Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
• Konklusinya,
• Dengan ini diharapkan
• Bukan itu sahaja
• Mudah-mudahan perkara ini
• Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
• Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni, insyallah perkara ini akan …
• Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

Sumber:
Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu)

FORMAT KERTAS BAHASA MELAYU 2 SPM


Kertas ini mengandungi empat soalan. Calon dikehendaki menjawab semua soalan. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan kertas ini ialah dua jam tiga puluh minit. Markah penuh ialah 110 markah.


Soalan 1 : Rumusan (30 markah)

• membuat rumusan berdasarkan petikan daripada bahan bacaan umum dalam pelbagai
bidang tidak termasuk bentuk penulisan kreatif.
• panjang rumusan tidak melebihi 120 patah perkataan.
• calon dikehendaki menghasilkan rumusan yang mempunyai pendahuluan, isi tersurat,
isi tersirat dan kesimpulan.

Soalan 2 : Pemahaman (35 markah)

• menguji kebolehan pelajar memahami dan menghayati pelbagai jenis bahan ilmiah dan
sastera.
• terdiri daripada empat bahagian iaitu (a), (b), (c) dan (d)

• soalan 2(a) ialah soalan pemahaman berdasarkan petikan bagi Soalan 1 yang terdiri daripada pelbagai bidang ilmu selain bentuk penulisan kreatif.
• markah yang diperuntukkan ialah 9 markah - 3 soalan (2 pemahaman teks, 1 KBKK)

• soalan 2(b) ialah soalan pemahaman berdasarkan satu petikan genre prosa moden sama ada cerpen atau drama dalam Antologi `Anak Laut’ atau Antologi `Kerusi’.
• markah yang diperuntukkan ialah 9 markah - 3 soalan (1 pemahaman teks, 1 KBKK, 1 komponen sastera)

• soalan 2(c) ialah soalan pemahaman berdasarkan satu petikan genre prosa klasik dalam Antologi `Anak Laut’ atau Antologi `Kerusi’
• markah yang diperuntukkan ialah 8 markah - 3 soalan (2 pemahaman teks, 1 KBKK)

• soalan 2(d) ialah soalan pemahaman berdasarkan satu petikan puisi sama ada puisi
moden atau tradisional dalam Antologi `Anak Laut’ atau Antologi `Kerusi’.
• markah yang diperuntukkan ialah 9 markah - 3 soalan (1 pemahaman teks, 1 KBKK, 1
komponen sastera)

Soalan 3 : Pengetahuan Bahasa dan Kemahiran Tatabahasa (30 markah)

• menguji kemahiran pelajar dalam sistem bahasa Melayu dari segi bentuk, makna dan
fungsinya.
• terdiri daripada lima bahagian iaitu (a), (b), (c), (d) dan (e) meliputi pengujian
dari segi membina ayat, menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah atau sebaliknya,
menggabungkan ayat, menambahkan imbuhan dalam ayat, membetulkan kesalahan ayat,
mengenal pasti peribahasa dan kemahiran tatabahasa yang lain.

Soalan 4 : Novel (15 markah)

• menguji kebolehan pelajar memahami dan menghayati genre novel
• terdiri daripada soalan 4(a) dan 4(b)
• soalan-soalan berdasarkan genre novel Komponen Kesusasteraan Melayu tingkatan
empat dan tingkatan lima
• soalan bersifat umum dan perbandingan
• Jawapan hendaklah berdasarkan novel yang dipelajari

Khamis, 11 Jun 2009

Galak pelajar baca novel, akhbar boleh tingkat penguasaan bahasa



Saya menyokong saranan Menteri Pelajaran supaya antara syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Namun, alangkah baiknya jika syarat lulus ditambah supaya calon SPM wajib juga lulus Pendidikan Islam untuk pelajar Islam dan Pendidikan Moral untuk pelajar lain.
Rasionalnya, di samping, pelajar dapat berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mereka juga kuat pegangan agama dan baik moral. Namun, soalan peperiksaan yang dikemukakan, janganlah terlalu tinggi arasnya sehingga pelajar yang akalnya masih rendah sukar memahaminya.

Berbalik kepada soal lulus Bahasa Inggeris dalam SPM, nampaknya, setakat ini masih ramai kurang yakin dengan kemampuan guru Bahasa Inggeris yang bertugas di luar bandar dan pedalaman.
Ada cadangan supaya guru berpengalaman di bandar dihantar ke kawasan berkenaan agar mutu pendidikan Bahasa Inggeris di luar bandar dan pedalaman meningkat.
Persoalannya, berapa ramai guru Bahasa Inggeris berpengalaman rela dihantar ke kawasan berkenaan? Tentu timbul masalah walaupun pelbagai insentif diberikan dan pada masa sama, kita seolah-olah menafikan kebolehan guru Bahasa Inggeris sedia ada di luar bandar.
Hakikatnya, pelajar di bandar menguasai Bahasa Inggeris bukan 100 peratus disebabkan kehebatan guru tetapi majoriti daripada mereka memang boleh berbahasa Inggeris sama ada di rumah dan di sekolah. Guru cuma memperkukuhkan dan ‘mengambil kesempatan’ daripada kebolehan pelajar itu.
Berdasarkan pengalaman selama lebih 33 tahun mengajar di sekolah, kebanyakan guru BI kurang memberi peluang kepada pelajar untuk berkomunikasi dan membaca dalam Bahasa Inggeris sebaliknya, guru lebih banyak bercakap dan menerangkan konsep khasnya yang berkaitan dengan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Pelajar mendengar dan menjawab soalan saja. Mengapa ini berlaku? Jawapannya, tentu sekali disebabkan soalan peperiksaan yang kurang memberi peluang pelajar bertutur.

Pelajar juga kurang diberi peluang untuk membaca. Jika ada pun, mereka hanya membaca buku teks dan buku kerja.

Tidak banyak guru bahasa (sama ada Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) yang menggunakan bahan terkini seperti akhbar dan majalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa membaca, bagaimana pelajar dapat menambah perbendaharaan kata, menguasai laras bahasa yang pelbagai dan menambah ilmu dengan isu terkini?
Sejak 2001, Kementerian Pelajaran memperkenalkan Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa (Komsas) tetapi apa yang berlaku, program itu bukan menggalakkan pelajar membaca dengan seronok tapi membaca kerana terpaksa. Oleh itu, Komsas cukup sekadar bagi meningkatkan bacaan luas bukan untuk diuji dalam peperiksaan. Jika ia dapat dilaksanakan, maka jumlah antologi cerpen dan novel dapat ditambah bilangannya berbanding sekarang.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada bersifat ‘pengguna’ mesti ditukar kepada konsep ‘pencipta.’

Kini, pelajar sekadar menjawab (sebagai pengguna) dan kurang diberi peluang untuk menjadi ‘pencipta’ sedangkan dalam sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran subjek bahasa, banyak kemahiran yang bersifat ‘pencipta’ tetapi diabaikan lantaran soalan peperiksaan yang kurang bersifat menguji.

Oleh itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, kita memerlukan perubahan drastik. Kita tidak boleh terkongkong dengan kaedah sedia ada. Di samping itu, pelajar sepatutnya diwajibkan memiliki akhbar dan majalah terkini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan. Untuk sekolah luar bandar dan pedalaman, ada baiknya Kementerian Pelajaran mengedarkan secara percuma bahan bacaan ini.

Cadangan untuk memastikan pelajar lulus subjek BI dalam SPM wajar dilaksanakan tetapi bukan tahun depan tetapi lima tahun akan datang, iaitu kumpulan pelajar Tingkatan Satu 2010 yang akan mengambil peperiksaan SPM pada 2014. Kita perlu adil kepada pelajar dan janganlah mereka menjadi mangsa keadaan sekali lagi.

AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN,

Parit Sulong, Johor.
Sumber : http://www.bharian.com/

Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak


Oleh Lokman Ismail
BAPA sebagai ketua dan pemimpin keluarga berdepan tanggungjawab berat memastikan kesejahteraan mereka di bawah kepemimpinannya. Bapa adalah nadi dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga.
Bapa dibantu oleh ibu mencorak hala tuju rumah tangga dengan mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan supaya kehidupan dapat dilayari dengan aman, bahagia serta penuh perasaan kasih sayang.

Menjadi bapa sempurna bukan mudah tetapi itu tidak menghalang seorang lelaki menimpa pengetahuan serta kemahiran terutama dalam membimbing isteri serta anak ke arah kehidupan mendapat keredaan Allah.

Bukan semua lelaki dilahirkan untuk menjadi bapa yang baik tetapi mereka mempunyai pilihan termasuk menjadikan kejayaan bapa mereka mendidiknya serta adik beradik lain sebagai contoh teladan selain Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi idola semua umat Islam.
Rasulullah SAW adalah contoh ikatan terbaik bagi bapa melaksanakan atau memainkan peranan memimpin keluarga. Baginda SAW secara langsung menyebut tatacara sebagai bapa dan suami terbaik dengan memberikan contoh.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” - (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW bukan saja mementingkan didikan agama dan akhlak terhadap anak, juga kemesraan dalam pergaulan. Baginda SAW memberi layanan mesra dan perhatian kepada anak termasuklah yang sudah berkahwin.

Banyak bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak lantaran sibuk dengan urusan pekerjaan dan aktiviti luar rumah. Adalah tidak adil bagi bapa beranggapan tugas rumah tangga termasuk mendidik anak, tanggungjawab ibu.
Tambahan, tuntutan hidup hari ini memaksa ibu turut bekerja bagi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga terutama bagi yang mempunyai anak sedang belajar. Oleh itu tidak adil meletakkan tanggungjawab kepada satu pihak sebaliknya kedua ibu bapa perlu memenuhi amanah mereka.

Menjadi bapa terbaik tidak bermakna mereka perlu sentiasa berdamping dengan anak, cukup berada di samping apabila kehadiran mereka diperlukan. Ada masa anak mengharapkan kehadiran bapa sebagai penasihat atau penguat semangat.

Hati anak mudah terguris jika di saat mereka mengharapkan kehadiran bapa, perhatian diharapkan tidak diterima. Ada kala anak tidak memerlukan masa yang lama, sekadar ingin bertanya dan mendapatkan pandangan. Jika itu juga sukar dipenuhi, pastinya hati mereka akan rasa kecewa.

Waktu terbaik untuk menunjukkan sifat prihatin dan kasih sayang bapa terhadap anak adalah ketika makan bersama dan solat berjemaah. Kesibukan atau kehilangan bapa seharian melakukan tugas akan terganti apabila dapat makan bersama serta bersolat dengan anak.

Kebanyakan bapa yang baru menimang cahaya mata berasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan bayi pengikat kasih sayang keluarga. Menghairankan, perasaan itu seakan luntur apabila anak bertambah serta meningkat dewasa.

Sedangkan, sebuah keluarga adalah satu anugerah atau nikmat terbesar Allah kurniakan kepada manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab serta keimanan menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada segala kehidupan lain.

Banyak bapa sekarang sibuk bekerja dan bersosial. Satu budaya yang tidak sihat apabila banyak bapa lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sehingga larut malam. Amalan minum sambil berborak sehingga larut malam menjadi pemandangan biasa di kedai dan restoran.

Mereka lebih rela melayan pelawaan rakan untuk beraktiviti luar daripada melayan permintaan anak sendiri. Sebab itu kes bapa terlupa menunai janji untuk bersama-sama anak sentiasa berlaku. Anak dimarah jika terlalu mendesak supaya bapa lebih banyak masa bersama mereka.

Setiap janji wajib ditunaikan termasuk janji kepada anak. Mungkir janji dengan anak bukan saja mengecewakan mereka bahkan mendidik mereka melakukan amalan sama. Amat buruk kesannya jika anak terdidik dengan sikap negatif seperti tidak menunaikan janji dan tidak mengasihi ahli keluarga.

Interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa dan seluruh ahli keluarga. Anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa yang mencetuskan keinsafan untuk mengutamakan keluarga dalam semua perkara.

Dalam banyak hal, anak ingin berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama kalangan anak lelaki meningkat remaja. Bapa menjadi individu paling rapat dan menjadi contoh terbaik kepada anak lelaki. Mereka menyimpan impian untuk menjadi bapa seperti bapanya apabila bergelar bapa nanti.

Betapa bangganya bapa dapat mendidik anak mengikut langkahnya menjadi bapa yang baik dan sudah pastinya paling penting ialah dapat menunjukkan jalan agama yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” - (Surah at-Tur, ayat 21)

Sumber: Berita Harian.

Umur enam tahun patut dah boleh sekolah



DR. AMINAH
________________________________________

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran supaya mengkaji semula usia persekolahan peringkat sekolah rendah yang ketika ini bermula pada umur tujuh tahun kepada enam tahun ekoran perkembangan minda kanak-kanak yang semakin pantas.
Perkara itu wajar dikaji secara serius kerana keadaan persekitaran pembelajaran untuk kanak-kanak kini semakin baik melalui pelbagai kemudahan yang sempurna.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, negara-negara Eropah termasuk Singapura sudah lama mengamalkan pendidikan di peringkat sekolah rendah bermula pada usia enam tahun.
"Sebenarnya kita sudah terlewat dan kerajaan patut melihat perkara ini," katanya ketika mempengerusikan Majlis Dialog UPSI Bersama Media di sini semalam.
Menurut beliau, negara ketika ini sudah cukup bersedia untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan syarat peringkat pra sekolah sudah lengkap.
"Ada ibu bapa yang memasukkan anak-anak mereka ke pra sekolah seawal usia empat dan lima tahun dan mereka terpaksa menunggu lama untuk memulakan persekolahan peringkat rendah," ujarnya.

Sumber:KOSMO

TRANSFORMASI PENDIDIKAN BAHASA INGGERIS

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my





Dasar baru terhadap pendidikan peringkat SPM perlu kajian teliti dan tidak terburu-buru. - GAMBAR HIASAN
________________________________________

ISU penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekali lagi mendapat perhatian kerajaan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan subjek itu wajib lulus sebagai syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Cadangan yang dibuka perdebatannya di kalangan orang ramai itu pastinya mengundang input yang pelbagai sementelah polemik mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) masih berlarutan.
Sama seperti PPSMI, cadangan itu antara lain bertujuan mempersiapkan para pelajar untuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik sebelum melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana hampir keseluruhan IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Begitu juga dengan buku-buku rujukan yang kebanyakannya dalam bahasa utama itu. Justeru, tanpa penguasaan bahasa Inggeris yang baik, pelajar akan berhadapan dengan masalah sewaktu di IPT. Perkara ini sebenarnya adalah sesuatu yang lazim dalam senario pengajian tinggi negara ketika ini.
Kesannya, mahasiswa ini gagal bergraduan dengan cemerlang meskipun merupakan antara pelajar dengan keputusan terbaik sewaktu di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Cadangan ini juga merupakan langkah jangka panjang untuk para pelajar menempuh alam pekerjaan dan membina masa depan yang lebih terjamin.
Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi, kemampuan menguasai bahasa Inggeris adalah satu kewajipan.
Peranan bahasa utama dunia itu semakin penting terutamanya apabila pasaran kerja tidak lagi bersifat domestik semata-mata, sebaliknya mula melalui proses liberalisasi.
Isu mengenai pengangguran di kalangan siswazah yang semakin bertambah saban tahun misalnya, turut dikaitkan dengan kegagalan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Ia memandangkan sektor pekerjaan terutamanya swasta meletakkan kemahiran berbahasa Inggeris sebagai antara syarat utama.
Begitu juga di peringkat sektor awam apabila kerajaan bersungguh-sungguh membawanya mencapai taraf antarabangsa dengan sokongan modal insan yang semestinya bertaraf global.
Justeru, kemampuan menguasai bahasa Inggeris bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan. Kerana itu juga cadangan dasar ini mendapat reaksi yang positif daripada pelbagai pihak antaranya Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.
Malah beliau menambah, sewajarnya syarat lulus bahasa Inggeris juga diperluas bagi kemasukan matrikulasi dan program pengajian di peringkat diploma.
Langkah itu tambah Zaini merupakan usaha besar ke arah menyediakan rakyat Malaysia supaya lebih bersedia mendepani realiti ekonomi tanpa sempadan dan ledakan dunia siber yang dikuasai bahasa Inggeris.
''Bagaimanapun pelaksanaannya perlulah tanpa menafi dan mengabaikan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi," ujar beliau.
Bagaimanapun dalam melihat keperluan untuk bersama-sama berubah dengan proses globalisasi dan modenisasi, ia bukanlah bermaksud kerajaan perlu melakukan perubahan yang drastik sehingga mengorbankan kepentingan lain.
Dasar-dasar dalam pendidikan misalnya, memerlukan kajian dan penelitian yang mendalam kerana ia membabitkan masa depan anak bangsa.
Bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud kerajaan perlu statik dan menolak sebarang perubahan apatah lagi sekiranya ia jelas merupakan satu penambahbaikan.
Sama juga halnya dengan cadangan syarat lulus subjek bahasa Inggeris ini yang secara langsung membabitkan para pelajar, guru-guru dan sektor pendidikan itu sendiri.
Kerajaan perlu berhati-hati dengan cadangan dasar ini kerana tidak mahu ia dilihat bakal menutup peluang kumpulan pelajar tertentu terutamanya di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hakikatnya, pelajar di luar bandar atau lebih tepat pelajar-pelajar Melayu masih sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Maka seandainya dasar ini dilaksanakan sebelum dipastikan bahawa ia benar-benar mampu melahirkan pelajar terutamanya di luar bandar dan Melayu dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, tidak mustahil IPT pada masa depan akan didominasi oleh pelajar bukan Melayu.
Antara yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan dari sudut transformasi sektor pendidikan dalam memenuhi keperluan ini.
Adakah kita mempunyai mekanisme dan struktur pendidikan yang berkesan untuk memastikan para pelajar mampu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik berbanding sistem yang ada ketika ini?
Antara yang sering dipersoalkan ialah kemampuan warga pendidik. Hakikatnya di kalangan guru-guru sekali pun, penguasaan bahasa Inggeris masih lagi lemah. Faktor ini juga menjadi salah satu sebab mengapa dasar PPSMI dibantah.
Justeru, cadangan wajib lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM wajar melihat dari sudut kemampuan tenaga pengajar terlebih dahulu.
Mekanisme memperkasakan guru-guru dengan kemahiran berbahasa Inggeris perlu diperluas tidak hanya di kalangan guru subjek tersebut, malah kepada semua warga pendidik.
Begitu juga dengan modul pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Apa yang pasti, seandainya cadangan ini tidak melibatkan rombakan besar dalam modul sedia ada, maka para pelajar akan berdepan dengan masalah. Cabaran untuk menarik minat pelajar kepada bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang mudah.
Subjek ini secara keseluruhannya gagal menarik minat pelajar kerana pelbagai faktor antaranya persekitaran yang tidak mesra dengan bahasa itu.
Melainkan di sekolah, itu pun pada waktu-waktu yang sangat terbatas, bahasa Inggeris boleh dikatakan tidak digunakan dalam kehidupan seharian majoriti para pelajar.
Lalu bagaimana mungkin bahasa Inggeris ini mampu dikuasai dengan baik? Kerana itu juga suka dicadangkan kerajaan menerusi cadangan ini turut memberi penekanan maksimum kepada pengajaran dan pembelajaran subjek ini.
Antaranya dengan menambah jumlah waktu pembelajaran di sekolah. Langkah lain yang dilihat sesuai ialah dengan memberi ruang kepada tenaga pengajar dari luar untuk mengendalikan kelas bahasa Inggeris.
Apa pun sekiranya dilaksanakan, kita tidak mahu cadangan ini mengundang kekalutan pada masa depan seperti mana yang berlaku terhadap dasar PPSMI.
Namun jika diperhalusi, ia sebenarnya boleh menjadi penyelesaian kepada polemik PPSMI yang masih berpanjangan.
Dasar ini dengan sendirinya dapat memperkukuhkan mekanisme pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris secara menyeluruh di sekolah.
Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melangkaui pelbagai subjek pendidikan.
Dengan itu, mata pelajaran Sains dan Matematik tidak lagi perlu diajar dalam bahasa Inggeris dan dikembalikan semula ke dalam bahasa Melayu.
Sumber : http://www.utusan.com.my/

REAKSI WAJIB LULUS BAHASA INGGERIS

LANGKAH kerajaan untuk mendapatkan pandangan rakyat berhubung cadangan Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan memberi masa kepada semua pihak untuk mengemukakan cadangan dan pandangan sama ada ia perlu dijadikan dasar atau sebaliknya. Kerajaan nampaknya lebih bersikap terbuka dalam isu berkenaan selepas melihat masalah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang masih belum ada penyelesaiannya. Kita menjangkakan timbul pro dan kontra berhubung isu berkenaan, malah Kementerian Pelajaran turut membuka saluran pandangan melalui talian khidmat pelanggan selain e-mel bagi mengumpul maklumat sebelum tindakan seterusnya diambil. Mungkin ibu bapa di bandar menyokong cadangan kerajaan ini, manakala penduduk luar bandar dan pencinta Bahasa Melayu, mungkin lain nadanya.

Kita berharap syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk mendapat sijil SPM dilihat secara positif tanpa membabitkan emosi. Ini penting kerana pandangan bercampur baur emosi dan sentimen digabung dengan politik akan menimbulkan keadaan tidak keruan dalam membincangkan isu berkenaan. Sebelum ini pun sudah ada suara yang mahukan Kementerian Pelajaran meneliti kurikulum mata pelajaran Bahasa Inggeris kerana dikatakan terlalu lemah dan antara punca masalah pelaksanaan PPSMI. Ramai berpandangan kaedah pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah sekarang tidak banyak membantu pelajar untuk menguasai bahasa berkenaan, terutama di luar bandar. Bagaimanapun, ramai pelajar Melayu yang gagal Bahasa Inggeris pada peringkat SPM tetapi mampu menguasai bahasa itu apabila menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberi penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul. Begitu juga kanak-kanak yang belajar di tadika dengan menekankan program khusus pengajaran Bahasa Inggeris mampu menguasai bahasa itu dalam tempoh singkat, sedangkan enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, majoriti pelajar terutama di luar bandar tidak mampu menguasai bahasa itu.

Adakah kaedah pengajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris yang menyebabkan pelajar gagal menguasai bahasa atau guru tidak menggunakan modul yang betul? Adakah benar sebahagian pelajar cukup takut atau bosan apabila guru bahasa Inggeris masuk kelas menyebabkan mereka sukar menguasai bahasa berkenaan? Mungkinkah dengan pelaksanaan dasar itu yang mempunyai elemen memaksa pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh jika mahu lulus SPM akan dapat membantu meningkatkan standard atau mutu mata pelajaran itu? Kini semua pihak diberikan peluang untuk memberikan pandangan supaya jika dilaksanakan, ia dapat dilakukan dengan senang hati oleh semua pihak.
Sumber : http : //www.bharian.com/

TIADA LAGI IKON PELAJAR CEMERLANG SPM


Nur Amalina Che Bakri

TENTU ramai yang masih ingat pencapaian cemerlang pelajar SMK Ulu Tiram, Johor, Nur Amalina Che Bakri, yang berjaya mencatat 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004. Kejayaan itu menjadikan Nur Amalina muncul sebagai pelajar yang mencatat 1A paling banyak dalam sejarah SPM, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pelajar sebelum ini. Sejak kejayaan Nur Amalina itu, ramai pelajar berazam dan mahu menyaingi pencapaiannya, sekali gus mendorong mereka mengambil seberapa banyak mata pelajaran yang termampu di peringkat SPM. Ada calon yang mengambil sehingga 21 mata pelajaran.

Kementerian Pelajaran juga tidak mengehadkan bilangan subjek yang ingin diduduki pelajar ketika itu kerana langkah mereka tidak menampakkan sebarang kesan negatif. Pada tahun-tahun berikutnya menyaksikan beberapa pelajar mencapai kejayaan lebih cemerlang berbanding Nur Amalina. Antara mereka yang cemerlang itu ialah seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan Kedah, Azli Azlan, yang mencatat 20 1A dan 1 2A pada 2007. Pada SPM tahun lalu pula seorang anak nelayan dari Kota Bharu, Kelantan, Nik Nur Madihah Nik Omar, muncul sebagai pelajar cemerlang dengan mencatat 20 A.

Walaupun pencapaian Nik Nur Madihah tidak dapat mengatasi rekod pencapaian Azlan, namun kejayaannya cukup dikagumi kerana dia datang dari keluarga yang miskin dan bapanya hanyalah seorang nelayan, tetapi segala kekurangan hidup tidak menghalang Nik Nur Madihah untuk mencacat keputusan yang luar biasa. Kejayaan cemerlang pelajar-pelajar berkenaan cukup membanggakan kita, apatah lagi mereka adalah anak Melayu yang kemampuan mereka sering diperlekeh dan dikatakan tidak mampu bersaing dengan pelajar kaum lain. Terbukti terdapat anak Melayu yang mampu mengatasi kaum lain dengan kejayaan yang lebih cemerlang dan secara tidak langsung mereka telah menaikkan imej pelajar Melayu. Kejayaan mereka mendapat liputan meluas semua media tempatan, sekali gus menjadikan mereka dikenali dalam sekelip mata, mengatasi populariti penyanyi terkenal. Nama mereka ‘dijual’ ke seluruh negara dan dijadikan ikon golongan pelajar yang harus dicontohi. Mereka menjadi simbol kegigihan pelajar yang bercita-cita besar dan mahu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan dalam peperiksaan.

Bagaimanapun tidak semua yang melihat pencapaian membanggakan itu sebagai kejayaan yang sihat. Ada pihak, termasuk pakar motivasi menyifatkan calon yang mengambil terlalu banyak mata pelajaran hanya membebankan diri sendiri dan tidak harus menjadi amalan atau ikutan. Sebaliknya pelajar dinasihatkan memadai dengan mengambil setakat 10 mata pelajaran atau paling banyak 12 mata pelajaran. Perkembangan itu kini bukan saja dikatakan membebankan pelajar, malah mendatangkan masalah kepada Kementerian Pelajaran, terutama dalam membuat tawaran biasiswa kerajaan kepada pelajar yang layak.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya menetapkan pelajarnya hanya boleh mengambil 10 subjek dan sudah pasti pelajarnya tidak dapat menyaingi pelajar sekolah lain yang memberi kebebasan kepada pelajarnya mengambil seberapa banyak subjek yang mereka mampu. Selain itu, mereka juga tidak mahu pelajar terlalu menumpukan kepada pelajaran semata-mata sehingga tidak mempunyai masa untuk membabitkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan menimba kemahiran insaniah yang lain.

Sejajar dengan itu, semalam Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan mulai tahun depan semua calon SPM hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran. Pengumuman itu adalah susulan daripada kenyataan beliau minggu lalu yang mahu mengehadkan bilangan subjek yang boleh diambil calon dalam SPM. Dengan pengumuman itu, kini sah bahawa selepas ini tidak akan ada lagi pelajar yang mampu mencatat keputusan luar biasa dengan bilangan A melebihi 10 mata pelajaran.

Keputusan itu mungkin akan boleh memudahkan lagi pihak kementerian membuat pemilihan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak. Bagaimanapun langkah berkenaan mungkin sukar untuk dilaksanakan di sekolah aliran agama kerana mereka bukan saja mempelajari subjek biasa berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran, malah mereka juga mengikuti subjek lain termasuk Bahasa Arab serta yang berteraskan keagamaan.

Kita percaya terdapat segelintir pelajar yang kurang bersetuju dengan langkah mengehadkan bilangan subjek kerana keputusan itu dianggap menyekat cita-cita mereka untuk mencatat kejayaan lebih baik berbanding pelajar lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

MEMPERKASAKAN BUDAYA ILMU MELALUI PESTA BUKU


oleh Dr Zaini Ujang

MINGGU ini Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur meriah dengan pelbagai acara pada Pesta Buku Antarabangsa 2009. Selain pelancaran banyak majlis, diskusi buku, temu janji dengan penulis, kuiz, jualan murah dan sesi pengenalan buku, Pesta Buku kali ini tambah meriah sempena sambutan Hari Buku Sedunia pada 23 April. Pesta buku ini, pada hemat saya, selari dengan hasrat menjadikan rakyat Malaysia masyarakat berilmu yang meletakkan ilmu dan nilai ilmu pada kedudukan sewajarnya. Pesta buku seumpama ini juga dapat menanam minat membaca dan menghargai sumber ilmu bagi membolehkan kita bergerak lebih pantas membina masa depan negara yang lebih cemerlang dan gemilang. Melihat kedatangan pengunjung yang bertali arus daripada pelbagai peringkat masyarakat dan usia, saya optimis masa depan negara semakin menyerlah dalam bidang pendidikan dan pembangunan ilmu secara keseluruhannya.
Temu bual rambang yang saya lakukan dengan petugas gerai buku juga menunjukkan penjualan buku meningkat biarpun di tengah krisis ekonomi, selain kesediaan pengunjung - ‘jalan-jalan cari buku’ - berbelanja membeli bahan ilmu untuk seluruh anggota keluarga daripada kanak-kanak dengan bacaan bergambar sehingga warga emas dengan bahan ilmu lebih berbentuk falsafah dan amalan rohaniah. Buat pertama kali, sepanjang pengetahuan saya, pesta buku tahun ini menyediakan tawaran istimewa untuk pembeli bertuah apabila gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menawarkan hadiah sebuah kereta. Nampaknya dinamisme industri perbukuan negara semakin kreatif dari segi promosi dan pemasaran. Perkembangan ini selari dengan pencapaian Malaysia menerusi pelbagai petunjuk terkini (misalnya The Economist Pocket World in Figures 2009) dari segi tahap pendidikan dan pembangunan. Dari segi celik huruf misalnya, Malaysia melebihi paras 92 peratus. Dari segi indeks inovasi pula, Malaysia menduduki tempat ke-21 berbanding Amerika Syarikat (1), Jepun (4), Singapura (11), Britain (14) dan Perancis (17).
Namun, Malaysia secara keseluruhannya masih belum menyerlah dari segi enrolmen pengajian tinggi pada paras masih di bawah 40 peratus, berbanding Greece pada kedudukan teratas dengan 95 peratus, Korea Selatan (93 peratus), Denmark (80 peratus) dan Sweden (79 peratus). Malaysia juga masih jauh ketinggalan dari segi biaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) didahului Israel (4.71 peratus berbanding KDNK pada 2005), Sweden (3.86 peratus), Jepun (3.17 peratus) dan Singapura (2.36 peratus). Pada hemat saya, kemajuan ilmu sesebuah masyarakat memang boleh diukur menggunakan pelbagai petunjuk kuantitatif. Petunjuk itu boleh dijadikan penanda aras untuk lebih kompetitif. Namun, kadangkala petunjuk sedemikian hanya menumpu kepada data dan fakta berbentuk formal yang tidak menggambarkan unsur-unsur kualitatif seperti cara hidup dan sosiobudaya. Apatah lagi hampir semua institusi ilmu era moden ini berkait rapat dengan persijilan dan pengajian secara formal. Hal ini perlu difahami secara lebih holistik kerana dimensi pendidikan dan kemajuan ilmu tidak terhad kepada aspek kuantitatif dan institusi formal semata-mata. Dalam sejarahnya, kemajuan ilmu sebenar lebih menyerlah menerusi aspek kualitatif dan keperibadian masyarakat ilmu yang tercerna menerusi kemurnian jiwa, kemantapan minda, kesegaran aspirasi, kelancaran kewacana sama ada secara lisan atau tulisan, keberhasilan aktiviti ilmu tanpa dokongan kerajaan, cara hidup lestari dan kemahiran kerjaya yang terus diperteguhkan secara berterusan dan penyerlahan jati diri.
Aspek sikap dan nilai terhadap ilmu, sumber ilmu, bahan ilmu, aktivisme ilmiah, martabat ilmuwan dan proses pemerkasaan ilmu juga penting yang perlu menjadi isu pokok dibahaskan secara berterusan dan meluas dalam segenap peringkat masyarakat. Dengan kata lain, kita tidak perlu terikat hanya kepada paparan statistik mengenai jumlah penyandang PhD, bilangan pelajar ijazah lanjutan, enrolmen pengajian tinggi, dana R&D, kemudahan prasarana teknologi maklumat, senarai pemenang Hadiah Nobel atau tahap celik huruf semata-mata. Apalah gunanya peratus celik huruf mencecah 100 peratus misalnya, jika tradisi membaca bahan ilmu tidak membudaya atau sekadar keasyikan membaca ruangan gosip akhbar harian, berbual kosong dalam rangkaian facebook dan terpukau dengan novel misteri. Jauh lebih penting daripada itu ialah persoalan mengenai tahap penghayatan budaya ilmu, kemampuan untuk mewujudkan persekitaran mesra ilmu dan kesediaan organisasi atau masyarakat secara menyeluruh untuk menjadi lebih ramah dan hormat ilmuwan. Untuk itu maka persoalan ini penting iaitu apakah aktiviti berfikir, membaca dan menulis dalam bidang khusus atau umum merentasi pelbagai disiplin ilmu sudah menjadi amalan hidup yang lumrah dalam masyarakat Malaysia? Apakah pemikiran dan idealisme murni berakar tawhid subur menjadi landasan hidup yang memartabatkan kebenaran, kesejahteraan sejagat dan pelestarian alam sekitar? Dalam hal ini dan untuk merealisasikan pelbagai idealisme dan gagasan besar seperti 1Malaysia, Wawasan 2020 dan K-ekonomi, maka banyak persoalan dasar dan falsafah ilmu perlu difahami dan dihayati setulusnya. Dimensi kualiti pengajian tinggi misalnya, perlu dilihat secara lebih komprehensif, holistik dan struktural supaya tidak terlalu mekanikal sifatnya apatah lagi menjurus kepada akreditasi dan persijilan seumpama ISO semata-mata. Selain itu, nilai ilmu pula perlu ditempatkan pada kedudukan jauh lebih tinggi dan menyerlah, berbanding keghairahan mengenai status sosial, hedonisme, pangkat dan fahaman berakar materialisme. Ini juga bermakna fahaman dan penghayatan ilmu jangan sampai terikat dan dikongkong fahaman utilitarianisme semata-mata. Realitinya permintaan pasaran kerja memang penting, tetapi jangan sampai menjadi agenda utama sehingga ‘membutakan’ kita terhadap matlamat utama pendidikan seperti yang terpahat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu ... mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.’ Masyarakat ilmu yang ideal, pada hemat saya, ialah mereka yang memiliki kemahiran berfikir, keupayaan berhujah, kesantaian berkomunikasi dengan pelbagai dimensi dan perspektif, pencinta ilmu, penggemar buku, pemburu kebenaran, perwatakan mulia dan berjiwa besar dengan minda kelas pertama. Secara tidak langsung, kemeriahan pesta buku dan keasyikan kita menyambut Hari Buku Sedunia adalah antara petunjuk kesediaan dan keazaman kita untuk menjadi masyarakat ilmu yang tulus. Biarpun pasaran industri perbukuan di Malaysia dari segi statistiknya masih kecil dan jumlah terbitan buku tempatan jauh lebih rendah berbanding Jepun dan Amerika Syarikat dari segi perkapita. Namun, saya berharap di sebalik kekecilan itu tersembunyi hasrat dan jiwa besar, seperti resam ketulan ais di kutub bahawa yang timbul itu adalah petunjuk kewujudan yang jauh lebih besar dan unggul untuk menjadi bangsa maju berteraskan budaya dan nilai ilmu.

http://www.bharian.com.my/

GENERASI MUDA PERLU LEBIH AKTIF & AGRESIF



GENERASI muda sama ada pemuda, puteri dan putera bakal mengisi saf kepemimpinan baru negara. Sebarang usaha dan inisiatif untuk memperkasakan lagi keperluan, kehendak, kebajikan dan hak asasi golongan realistik itu sangat dialu-alukan dan perlu diberikan perhatian serius semua pihak.Mereka secara objektifnya mempunyai idealisme tersendiri dan tidak wajar dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.Kumpulan itu perlu tegas dan berani menyatakan hasrat dan pandangan tanpa berpihak serta bijak mengkritik dan memberi pendapat dalam semua perkara.Jika di Barat mereka bergelut dan dibelenggu pelbagai masalah serta krisis keruntuhan akhlak yang teruk seperti penyalahgunaan dadah, aktiviti pelacuran, pergaulan dan seks bebas, hidonisme dan sebagainya, maka budaya negatif itu perlu disekat daripada berakar dalam masyarakat kita.
Inilah cabaran dan realiti sosial yang perlu ditangani saf kepemimpinan muda di negara kita dari semasa ke semasa.
Dalam buku Belia Dalam Pembangunan Dunia Melayu Dunia Islam (2002), turut disentuh peranan generasi muda, cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi, terutama dalam memastikan generasi muda tidak tertinggal jauh oleh arus pemodenan.Kelompok itu perlu menguasai ilmu, terutama dalam bidang sains dan teknologi agar ilmu yang diperoleh dapat membantu memajukan diri.Selain penguasaan dalam bidang IT, bidang ekonomi dan politik penting dalam senario globalisasi.Kekuatan dan kelemahan sesuatu bangsa dan negara bergantung kepada generasi muda sepanjang zaman.Warisan seni budaya penting bagi membentuk dan membina jati diri. Kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara bergantung kepada kualiti generasi muda iaitu sekiranya mereka dapat meningkatkan kecemerlangan diri dan mengikis sikap rendah diri, sudah pasti mereka tidak akan dipandang rendah bangsa lain.Kesedaran terhadap sejarah dan perjuangan boleh dijadikan sumber inspirasi kepada generasi muda.Pelbagai peristiwa seperti dirakamkan al-Quran memaparkan model untuk diteladani anak muda masa kini, khususnya dalam mempertahankan jati diri dan menghadapi cabaran semasa.Selanjutnya, generasi muda perlu dilengkapi dan dipersiapkan dengan pendidikan tinggi dalam segala aspek, terutama peluang ke universiti.Universiti adalah medan terbaik untuk generasi muda membina kaliber dan mengasah bakat kepemimpinan, mengumpul ilmu pengetahuan dan pengalaman seluasnya serta membentuk jaringan perhubungan yang luas dalam pelbagai dimensi dan sebagainya melalui gerakan aktivisme di dalam dan luar kampus.Universiti juga platform merangka formula ke arah melahirkan angkatan belia berintegriti, bersahsiah dan bermaruah.Untuk itu, generasi muda perlu mengambil peluang dan ruang yang cukup luas dan meletakkan semula fungsi sebagai ejen perubahan dan jurubicara umat.Mereka tidak boleh lagi layu dan lesu terhadap sesuatu perkara yang berlaku, sebaliknya aktif dan agresif.Golongan berwibawa itu tidak boleh dibiarkan terlalu kaku, lemah dan mundur, tetapi barisan warga serba boleh, berfikiran besar dan bersedia berhadapan segala cabaran kehidupan
sumber : Harian Metro, Khamis 23 April 2009

Rabu, 10 Jun 2009

Ke mana perginya adab sopan dan budi bahasa?


Oleh Datuk Johan Jaafar

SAYA dan beberapa orang teman sedang makan sambil berbual-bual di sebuah bilik restoran Cina. Apabila pintu terkuak lebar, dua orang lelaki dan seorang wanita berdiri di tengah pintu. Mereka tersalah tempat. Tanpa mengucapkan maaf kerana mengganggu, mereka bergegas ke tempat lain. Ini perkara yang kecil. Namun demikian, senario ini menggambarkan sikap dan nilai baharu yang melanda rakyat kita. Kita sudah hilang budi bahasa dan rasa hormat pada orang lain. Ucapan semudah ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ semakin sukar diucapkan. Perkara mudah yang dapat menunjukkan kita sebagai manusia bersopan sudah semakin hilang.

Mungkin kita hidup dalam dunia yang lain. Ini dunia serba cepat yang menjadikan kita mudah hilang sabar. Kita tidak sabar di jalan raya, menunggu lampu isyarat bertukar atau sewaktu berbaris. Kita menjadi stres kerana hal-hal yang paling kecil. Kita hanya memikirkan diri kita sendiri ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Apakah jenis manusia yang kita lahirkan hari ini? Apakah nilai-nilai murni bersama (shared values) sudah pupus? Apakah kepatuhan pada nilai-nilai dalam masyarakat sudah luntur? Apakah kita sudah menjadi manusia yang diubah oleh zaman, keperluan dan desakan semasa?

Terlalu banyak insiden di hadapan kita yang mengarah kepada kebobrokan nilai dalam masyarakat. Dalam usaha untuk membina tamadun, soal yang membabitkan akhlak dan moral tidak boleh diperkecil. Masyarakat yang hilang adab dan akal budinya tidak akan membawa banyak makna sekalipun masyarakat itu berjaya dan maju. Kita selalu mengatakan bahawa kita mahu maju menggunakan kayu ukur kita sendiri. Kita meletakkan penanda aras sesuai dengan budaya dan agama yang kita pegang. Sistem nilai kita berbeza dengan Barat. Kita tidak boleh menggunakan kayu ukur Barat untuk menentukan tahap kejayaan dan kemajuan kita. Pada waktu yang sama, kita tidak boleh menggunakan skala ukuran orang lain untuk menentukan nilai kita sendiri.

Kita harus bersedia menghadapi cabaran-cabaran semasa untuk mencapai kejayaan. Kita harus kreatif, inovatif, berdaya saing, berjiwa besar dan punya semangat juang. Namun, kita juga harus menggunakan landas budaya dan agama dalam mencorakkan laluan pacuan kita. Kita tidak boleh berjaya dengan apa-apa cara sekalipun. Kita tidak boleh menghalalkan apa-apa sahaja cara untuk memastikan kita mencapai apa-apa yang kita hajatkan. Ambil sahaja kebebasan. Kita sepatutnya menghargai kebebasan. Mana-mana negara yang mengekang kebebasan bersuara dalam era teknologi maklumat (ICT) hari ini sebenarnya membuat tindakan bebal. ICT mengubah segala-galanya. Maklumat datang bagai tsunami. Tidak ada kuasa yang dapat membendung arus pengaliran maklumat dan ilmu di alam siber. Namun, janganlah pula kebebasan itu disalahgunakan. Internet hari ini menjadi saluran kebencian, menghasut dan menghina orang lain. Kebebasan yang disalahgunakan tidak akan membawa makna dalam usaha kita untuk melahirkan masyarakat yang secara psikologinya bebas, yang mindanya terbuka dan jiwanya besar.


Sebaliknya, kebebasan yang disalahgunakan menjadi penghalang kepada usaha untuk melahirkan masyarakat terbuka dan sivil seperti yang kita mahukan.

Lihat sahajalah apa-apa yang tertulis di dalam sebahagian daripada blog, juga bahan yang tertera di dunia siber. Begitu terasa sekali nada benci dan marah serta rasa dendam dan kecewa. Terlalu kental udara kebencian di dalamnya. Sebahagian daripada mereka tidak dapat membezakan fakta dengan kenyataan, antara andaian dengan persepsi serta antara khabar angin dengan berita yang benar. Orang begitu percaya dengan apa-apa yang dibaca hinggakan mereka menganggap kebohongan, fitnah dan khabar angin sebagai benar.

Tidak ada salahnya kita menjadi kritikal. Malah, teguran penting bagi kita. Rakyat yang tinggal bungkem dan takut menyatakan pendirian tidak banyak gunanya kepada negara. Tiada sesiapa yang menolak kritikal positif dan membina mahupun sepedas mana. Namun, dunia siber menjadi dunia koboi yang tidak ada undang-undang. Apa-apa sahaja dibolehkan. Kebebasan bersuara menjadi lesen untuk membangkitkan kebencian serta membuat hasutan. Malah, ada yang sampai menghina institusi yang selama ini kita junjung. Ada usaha untuk meruntuhkan apa-apa yang telah kita setujui dalam Perlembagaan. Kita harus kembali ke asal. Kita harus menjunjung tradisi murni yang diguna pakai dalam tamadun terbaik Islam, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita harus meletakkan akal budi pada tahapnya yang betul. Kita harus kembali mencari jawaban pada keadaan kritikal yang melanda masyarakat kita hari ini - di mana adab dan susila tidak lagi dipedulikan.

Kita masih belum terlambat. Teras sistem pendidikan kita harus dikaji semula. Pelajar yang berdisiplin di sekolah tidak boleh serta merta menjadi anak muda marah-marah di jalan raya dan di tempat awam. Kongkongan disiplin yang kuat tidak boleh serta merta terungkai apabila anak-anak kita keluar sekolah. Kita tidak boleh melahirkan anak-anak yang menghormati ibu bapa di rumah tetapi menjadi makhluk berbahaya di luar rumah. Kita tidak mahu memungkinkan keadaan orang yang warak di surau menjadi agresif dan penuh kebencian di tempat lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti menyedari masalah ini apabila beliau merangka teras 1Malaysia.

Lapan teras yang dijadikan oleh beliau sebagai gagasan 1 Malaysia itu antara lain menggariskan rasa rendah diri, ketabahan, integriti dan kesetiaan. Hal-hal ini selalunya diambil mudah oleh generasi hari ini. Kejayaan teknologi dan kebendaan sahaja tidak ada maknanya sekiranya hal ini tidak didukung oleh nilai-nilai utama dalam mencorakkan keperibadian kita. Marilah kita bermula dengan kembali membentuk masyarakat yang hormat-menghormati antara satu sama lain. Kita tidak boleh melahirkan individu yang tamak dan kurang ajar. Kita harus menolak lahirnya manusia yang tidak ada sedikit pun rasa hormat pada orang lain.

Jenis manusia seperti ini boleh berjaya. Malah mungkin boleh mencapai kedudukan tinggi dalam hirarki politik. Di mana-mana pun sistem politik di dunia, boleh wujud mereka yang naik dengan cara yang tidak beretika. Malah, istilah ‘warlords’ mulai digunakan bagi menunjukkan cara pimpinan politik akan menggunakan kuasa wang dan kedudukan untuk berjaya. Di Lok Sabha atau Dewan Rakyat di India, dikatakan 128 orang daripada 543 ahlinya pernah menghadapi tuduhan jenayah, daripada jumlah itu 84 pernah didakwa kerana kesalahan membunuh, 17 merompak dan 28 yang terbabit dalam kes kecurian serta 8 kerana kes peras ugut. Seorang ahli Parlimen mempunyai 17 kes membunuh yang berasingan.


Bayangkan kualiti badan pembuat dasar sekiranya hal itu berlaku. Maka itu, kita perlukan integriti dalam semua sistem kita, termasuk politik. Semuanya harus bermula dengan sikap kita terhadap adab sopan. Orang yang tidak tahu mengucapkan kata-kata semudah ‘maaf’ dan ‘terima kasih’ tidak layak untuk dipertaruhkan harapan kita untuk masa depan. – Datuk Johan Jaafar

http://www.bharian.com.my/

Selasa, 9 Jun 2009

Catatan Usrah.


1. Kata-kata Bidalan.

Bila hati rosak,
Matanya jadi mata keranjang,
Matanya jadi mata duitan,
Hidungnya jadi hidung tinggi,
Mulutnya jadi mulut tempayan
Lidahnya lidah bercabang
Tangannya jadi tangan panjang,
Kakinya jadi kaki ekor,
Najisnya najis dadah,
Tahinya tahi arak,
Apabila hatinya rosak, semua perlakuannya mejurus kepada perkara yang rosak.

2. Menghilangkan rasa marah dan dendam.

Ingat dua perkara, lupakan dua perkara,

Ingatkan kejahatan kita dan ingatkan kebaikan orang lain dan nikmat Allah.
Lupakan kebaikan kita dan lupakan kejahatan orang lain terhadap kita.

Latih diri untuk sentiasa memafkan orang lain berulangkali, insyaallah akan menjadi seorang yang pemaaf

Sumber: Radio IKIM

PENYAKIT-PENYAKIT HATI.

Hati yang sihat, tidak berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, Kerana itulah kita melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah swt;


الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya; Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (al-Ra'd:28)
Sabda Rasulullah saw;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.

Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.


Sebaliknya orang yang hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.


Penyakit hati ialah sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh dibahagikan kepada dua bahagian;

1. Penyakit hati terhadap Allah.
2. Penyakit hati terhadap manusia.

Antara penyakit hati terhadap Allah

1. Lalai dalam beribadah
2. Lalai dari mengingati Allah
3. Ragu-ragu terhadap dengan Allah
4. Tidak ikhlas dengan Allah
5. Tidak takut pada ancaman Allah
6. Tidak harap pada rahmat Allah
7. Tidak redha akan takdir Allah
8. Tidak puas dengan pemberian Allah
9. Tidak sabar atas ujian Allah
10.Tidak syukur atas nikmat Allah
11.Tidak terasa diawasi Allah
12.Tidak terasa hebatnya Allah
13.Tidak rindu dan cinta dengan Allah
14.Tidak tawakal pada Allah
15.Tidak rindu pada syurga dan tidak takut pada neraka
16.Cintakan dunia.
17.Penakut (takut pada selain Allah)
18.Ujub
19.Riak
20.Sukakan pujian dan kemasyhuran

Antara penyakit hati terhadap manusia

1. Benci membenci
2. Gembira atas kesusahan orang lain.
3. Dukacita atas kejayaan orang lain.
4. Harap keburukan terhadap orang lain.
5. Tidak mau minta maaf dan tidak memaafkan orang lain
6. Hasad dengki
7. Dendam
8. Bakhil
9. Buruk sangka
10.Tidak bertolak ansur
11.Tidak bertimbang rasa
12.Rasa Berat Tulang,Tidak tolong-menolong
13.Tamak
14.Degil dan keras hati
15.Mementingkan diri sendiri
16.Sombong
17.Tidak sabar dengan ragam manusia
18.Memandang hina kepada seseorang
19.Riak
20.Ujub
21.Rasa diri bersih dan suci.


Sumber: Radio IKIM

BI syarat wajib lulus SPM


Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my

Muhyiddin minta orang ramai beri pandangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini calon SPM tidak disyaratkan lulus Bahasa Inggeris walaupun subjek itu diajar sebagai satu mata pelajaran di sekolah, selain diiktiraf sebagai bahasa kedua di negara ini.

Beliau berkata, maklum balas daripada orang ramai akan membolehkan Kementerian Pelajaran membuat penilaian kerana pihaknya melihat isu itu dari sudut peningkatan keupayaan dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Setakat ini anak-anak kita yang belajar bahasa Inggeris masih boleh dapat sijil penuh walaupun gagal dalam bahasa Inggeris dan ini menjadi persoalan. Oleh itu, saya mahukan maklum balas daripada masyarakat supaya dapat memastikan pelajar luar bandar tidak menjadi mangsa disebabkan mereka tidak menguasai bahasa Inggeris.

"Walaupun hampir 70 peratus pelajar lulus bahasa Inggeris (di peringkat SPM setiap tahun), keputusan itu tidak memberi sebarang perbezaan kerana pelajar gagal juga mendapat sijil (penuh)," katanya selepas merasmikan penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirkby Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara di sini, semalam.
Beliau turut melancarkan buku `Kirkby: The Life and The Loves' karya Dr Shaari Isa dan merasmikan pameran Maktab Kirkby anjuran Muzium Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Hadir sama presiden persatuan itu, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.

Muhyiddin berkata, pandangan umum diperlukan mengenai perkara itu kerana sebelum ini beliau beranggapan semua pelajar perlu lulus subjek bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh SPM.

"Saya ingatkan kita perlu lulus kerana kita belajar bahasa Inggeris, sebaliknya (baru saya dapat tahu) tidak perlu lulus.

"Saya cuma meletakkan persoalan adakah disebabkan itu pelajar tidak belajar bahasa Inggeris dengan serius atau adakah ia menyebabkan standard bahasa Inggeris menurun. Ia perlu dibincangkan semua pihak," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga mendapati bahasa Inggeris sekarang diajar tanpa pengajaran tatabahasa, sebaliknya pelajar hanya mempelajari 'Communicative English' bagi membolehkan mereka berhubung dengan orang lain.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak membuat sebarang keputusan mengenai isu itu kerana mahu memberi peluang kepada semua pihak untuk memberi pandangan sebelum penilaian dan langkang seterusnya diambil.

"Kedua-dua isu ini perlu diteliti bagi membolehkan pelajar lebih serius menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menyifatkan Maktab Kirkby sebagai 'miniature Malaya' yang menyemai semangat 1Malaya dan Malaya Boleh, apabila guru lepasan institusi itu pulang ke tanah air untuk mengajar di seluruh negara.

Katanya, guru lepasan Maktab Kirkby menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan profesion perguruan di negara ini dan ia dibuktikan dengan pemilihan empat bekas pelajar Maktab Kirkby sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dari 1988 hingga 1998.

ANALISIS RUMUSAN KARANGAN

ANALISIS SOALAN 1 : MERUMUSKAN KARANGAN
KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM (NOV 2001-NOV 2008)

SPM Skop Soalan
NOV 2001 Tanggungjawab penulis
JUN 2002 Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
NOV 2002 Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan
JUN 2003 Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
NOV 2003 Kepentingan pelabelan makanan
JUN 2004 Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia.
NOV 2004 Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya.
JUN 2005 Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu
NOV 2005 Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan
JUN 2006 Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan.
NOV 2006 Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat
JUN 2007 Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
NOV 2007 Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara.
JUN 2008 Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat
NOV 2008 Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas.

GURINDAM MEMELIHARA ANGGOTA DAN HATI DARIPADA KEJAHATAN



RANGKAP PERTAMA
APABILA TERPELIHARA MATA,
SEDIKIT CITA-CITA.
MAKSUD ;-
Pelihara penglihatan dapat kawal keinginan nafsu.

RANGKAP KEDUA
APABILA TERPELIHARA KUPING,
KHABAR YANG JAHAT TIDAKLAH DAMPING.
MAKSUD;-
Pelihara pendengaran,hindari fitnah dan kata-kata nista

RANGKAP KETIGA
APABILA TERPELIHARA LIDAH,
NESCAYA DAPAT FAEDAHNYA.
MAKSUD;-
Pelihara percakapan, banyak beroleh kebaikan

RANGKAP KEEMPAT
BERSUNGGUH-SUNGGUH ENGKAU MEMELIHARA TANGAN,
DARIPADA SEGALA BERAT DAN RINGAN.
MAKSUD;
Hendaklah kawal perbuatan daripada melakukan kesilapan,mahupun kecil dan ringan.

RANGKAP KELIMA
HATI ITU KERAJAAN DI DALAM TUBUH,
JIKALAU ZALIM SEGALA ANGGOTA PUN ROBOH.
MAKSUD;-
Hati berkuasa menentukan tingkah laku seseorang jika niat jahat,maka jahatlah orang itu.

RANGKAP KEENAM
APABILA DENGKI SUDAH BERTANAH,
DATANGLAH DARIPADANYA BEBERAPA ANAK PANAH.
MAKSUD;-
Sikap dengki menjadi punca beberapa kejahatan.

RANGKAP KETUJUH
MENGUMPAT DAN MEMUJI HENDAKLAH FIKIR,
DI SITULAH BANYAK ORANG TERGELINCIR.
MAKSUD;-
Berhati-hati sebelum berkata-kata. Banyak orang terlanjur cakap tanpa berfikir.

RANGKAP KELAPAN
PEKERJAAN MARAH JANGAN DIBELA,
NANTI HILANG AKAL DI KEPALA.
MAKSUD;-
Sikap marah perlu dibuang kerana dapat menyebabkan hilang pertimbangan.

RANGKAP KESEMBILAN
JIKA SEDIKIT PUN BERBUAT BOHONG,
BOLEH DIUMPAMAKAN MULUTNYA ITU PEKUNG.
MAKSUD;-
Berbohong akan membawa keburukan kepada diri sendiri.

PERSOALAN
Pentingnya memelihara penglihatan,percakapan dan pendengaran.
Sikap dengki membuka ruang utk melakukan kejahatan yg lain.
Hati sangat berkuasa dalam diri sendiri.
Berkata-kata tanpa berfikir merosakkan diri sendiri.
Perasaan marah perlu dikawal
Berbohong akan merosakkan maruah diri sendiri

BENTUK GURINDAM
Sembilan rangkap
Bilangan baris sama. 2baris setiap rangkap.
Panjang pendek barisnya tak sama
Rima akhir aa
Bentuknya terikat/tidak bebas

UNSUR KEINDAHAN
Pengulangan kata. Contohnya, Apabila
Katanya indah. Contohnya, bertanah,tergelincir
Perlambangan. Contohnya, hati itu kerajaan di dalam tubuh
Kata ganda. Contohnya, cita-cita
Asonansi. Contohnya, khabar yang jahat tidaklah damping
Aliterasi. Contohnya, Nescaya dapat daripadanya faedah
Rima akhirnya sama, aa

NILAI
Berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan
Baik hati dan tidak dengki kepada orang lain
Bercakap benarlah sepanjang masa
Bersabar tanpa mengikut perasaan marah

PENGAJARAN
Pelihara pandangan mata daripada melihat perkara yg tak baik
Menjaga hati kerana hati itu pengawal tingkah laku
Janganlah bersifat dengki
Hendaklah berfikir sebelum memuji atau mengumpat
Janganlah suka berbohong kerana berbohong mendedahkan kelemahan diri kita sendiri.

Amalkan budaya nasihat

Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.



JANGAN menjadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. - Gambar hiasan
________________________________________


DALAM menempuh kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Pelbagai faktor boleh dikaitkan dalam melakukan kesilapan, mungkin kerana lupa, terlepas pandang, tidak disengajakan atau tidak mendapat maklumat yang cukup.
Oleh itu, amalan nasihat menasihati dalam kehidupan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan keharmonian hidup. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: 'Agama Islam itu nasihat. Kami berkata bagi siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Bagi Allah dan kitabNya (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunah-Nya ) dan bagi para Imam (ketua kaum Muslim), serta bagi orang ramai' - hadis riwayat Muslim.
Dalam konteks yang lebih besar, amalan nasihat menasihati merupakan tanggungjawab seorang Muslim terhadap yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: 'Hak dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada enam. Jika anda bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya dan jika anda dijemput maka hendaklah memperkenankannya, dan jika dia meminta nasihat maka nasihatilah dia dan jika dia bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah dia semoga dia dirahmati Allah dan jika dia sakit maka ziarahilah dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya hingga ke kubur' - hadis riwayat Muslim. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 'Tugas Aku (Nuh) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah kamu, sedang aku mengetahui melalui wahyu dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahui' - surah al-A'raf:62.
Amalan hidup nasihat menasihati merupakan tuntutan dan beberapa perkara berkaitan perlu diberi perhatian. Dalam memberi dan menerima nasihat, kita perlulah bersifat positif, tidak terburu-buru, tidak buruk sangka, sentiasa menyelidik dan mengelakkan diri daripada sifat dendam. Allah s.w.t mengingati dengan firmannya yang bermaksud: 'Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dusta' - surah al-Hujurat :12. Talhah bin Abdul Rahman bin Auf, seorang dermawan Quraisy ditegur oleh isterinya yang berkata: "Saya belum pernah jumpa teman-teman seburuk teman-temanmu.
"Kalau kita senang, semua datang menemui, sekarang bila kita susah, tiada pun mereka datang menemui kita." Jawab suaminya: "Sifat inilah yang patut dipuji, sebab mereka tidak menyusahkan kita."
Seorang ibu bapa tidak boleh tidak untuk sentiasa memberi nasihat kepada anak-anaknya. Ini merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak. Namun apa yang tidak disukai oleh anak-anak adalah amalan sikap suka meleter yang tidak bertempat. Amalkan sikap menjadi pendengar yang teliti dan aktif. Hidupkan suasana dan naluri bertanya (dua hala) dan elakkan mencari kesalahan serta carilah perkara yang baik dan positif.
Dalam keadaan tertentu, bukan semua orang suka mendengar nasihat. Namun sifat yang baik apabila diberi nasihat, cubalah jadikan diri sebagai orang positif dalam menerima nasihat. Dalam nasihat, ada terkandung alternatif yang perlu dipilih untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Apa yang penting dalam amalan nasihat menasihati ialah semangat dan amalan silaturahim hendaklah terus terjalin.
Jangan jadikan nasihat sebagai satu kritikan yang boleh menyakiti hati dan perasaan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud: 'Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama Islam) Allah dan jangan kamu bercerai berai.' - surah al-Imran:103.

KOSMO